Mengapa ibu bapa Syed Saddiq disoal siasat 4 kali?

509

10 JUN: Tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyoal siasat ibu bapa Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk kali keempat menyebabkan Datuk Seri Najib Tun Razak berasa pelik.

Bekas Perdana Menteri itu juga hairan mengapa seorang pemimpin Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) turut disoal siasat.

Najib memberitahu, sebelum ini, Syed Saddiq memberi keterangan kepada polis bahawa sumber wang RM250,000 yang didakwa dicuri itu adalah diterima daripada ibu bapanya untuk pengubahsuaian rumah.

“Berbeza dengan masa pilihan raya umum di mana wang tunai memang banyak dibelanja, saya tak faham kenapa pula kontraktor-kontraktor perlu dibayar dalam bentuk wang tunai,” katanya melalui hantaran dalam laman Facebook beliau, hari ini.

Menurut beliau, ia perkara mudah jika sumber dana itu memang dari ibu bapa Syed Saddiq kerana penyata akaun-akaun bank mereka akan menunjukkan pengeluaran wang tunai.

Najib mempersoalkan sama ada soal siasat dilakukan berulang kali terhadap ibu bapa Syed Saddiq kerana pihak berkuasa gagal mengesahkan bahawa sumber dana yang dicuri itu adalah daripada ibu bapa,”

“Dan jika #Youthpower gagal membuktikan sumber wang tunai itu adalah dari ibu bapa dia, adakah dia serta ibu bapa dia bakal dituduh memberi kenyataan palsu kepada SPRM jika pihak berkuasa berjaya membuktikan sumber dana itu adalah dari Armada?

“Kenapalah ko libatkan orang tua kamu? Sama-sama kita menanti kesudahan drama ini,” katanya.

Pada masa yang sama, Najib menyatakan, kes Syed Saddiq agak berbeza dengan kes wang yang disita dari kondominium yang dikatakan berkaitan dengan dirinya.

“Dalam kes saya, wang RM116 juta disita dari kondo yang dikatakan berkaitan saya (kondo itu bukan milik saya) selepas ia dipindah dari peti-peti besi Pejabat Perdana Menteri SELEPAS kita kalah PRU14.

“Dana itu adalah dana Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang disumbangkan oleh individu-individu ternama kepada Barisan Nasional (BN) untuk tujuan kita mempertahankan kerajaan BN,” ujarnya.

Menurut beliau, memang menjadi kelaziman untuk menyumbang wang tunai masa PRU-14 kerana ramai individu yang menyumbang tidak mahu dikenali.

Najib juga telah memberi senarai penyumbang semasa disoal siasat oleh pihak polis yang seterusnya mendapat pengesahan daripada individu-individu ternama tersebut.

“Sebab itu, saya tidak didakwa di bawah undang-undang jenayah kerana sumber boleh disahkan,” katanya.

Namun, beliau mendakwa, kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengambil langkah mudah dan zalim untuk memfailkan saman sivil untuk lucut hak dana-dana tersebut berdasarkan bukti affidavit sokongan sahaja bahawa mereka ‘percaya’ dana itu berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan bukan kes jenayah.

Najib menjelaskan, walaupun dana sudah disita lebih dua tahun, kes saman sivil ini masih belum mula perbicaraan di mahkamah setelah ditangguh pihak kerajaan berkali-kali. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.