Fadhlullah dilantik Pengerusi baharu SKMM

35

10 JUN: Dr Fadhlullah Suhaimi Abdul Malik dilantik sebagai Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk tempoh dua tahun mulai hari ini.

Pelantikan itu diumumkan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah dalam kenyataan media yang disiarkan melalui Facebook.

Sebelum ini, Fadhlullah merupakan Naib Canselor dan Ketua Pegawai Eksekutif Universiti Perdana.

Saifuddin menjelaskan, Fadhlullah merupakan bekas anggota SKMM dan mempunyai pengalaman selama 20 tahun dalam sektor komunikasi.

“Beliau menggantikan Al-Ishsal Ishak yang telah berkhidmat sejak Oktober 2018,” katanya.

Saifuddin turut menyatakan, Tan Sri Zamzamzairani Mohd Isa akan dilantik sebagai penasihat telekomunikasinya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memberitahu, penambahbaikan dasar-dasar SKMM akan diperkenalkan untuk penyesuaian terhadap norma baharu akibat wabak COVID-19.

Pada masa yang sama, katanya, SKMM turut merancang dan melaksanakan program-program tertentu mengikut urutan keutamaan dan secara mampan bagi jangka masa panjang.
“Penambahbaikan dasar-dasar akan melibatkan tiga aspek utama, iaitu infrastruktur, persediaan untuk 5G, dan urus tadbir dan institusi.

“Usaha meningkatkan liputan infrastruktur jalur lebar yang lebih luas dan berkualiti tinggi di kawasan bandar, pinggir bandar dan luar bandar akan dipercepatkan,” ujarnya.

Saifuddin menjelaskan, dalam usaha persediaan 5G, strategi pengagihan spektrum akan diperbaiki untuk memastikan penggunaanya yang optimum.

“Struktur industri juga akan disemak semula untuk memastikan kemampanan industri dan keseimbangannya dengan kepentingan pengguna dalam jangka masa panjang,” jelasnya.

Bagi meningkatkan prestasi urus tadbir dan ketelusan institusi, beliau berkata, kuasa menteri akan disemak semula supaya wujud sistem semak dan imbang.

Selain itu, Saifuddin memberitahu, SKMM juga akan menyemak-semula skop tugas dan tanggungjawabnya supaya memberi fokus kepada peranan utamanya.

“Ini termasuk memperbaiki struktur organisasi dan menambah baik bidang-bidang tertentu seperti perundangan, audit dan sumber manusia,” katanya. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.