DAP patut letak calon wakili PH di Chini

190

HARI penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini yang dijadualkan pada 20 Jun semakin hampir, namun Pakatan Harapan (PH) masih belum memutuskan untuk bertanding di kubu kuat UMNO dan Barisan Nasional tersebut.

PKR yang kalah teruk di kerusi tersebut pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) telah memutuskan tidak akan meletakkan calon.

Jadi, peluang untuk menebus maruah PH yang semakin tercalar kini terletak pada tangan DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah).

Amanah tidak boleh diharapkan kerana parti serpihan PAS itu tidak berapa kuat pengaruhnya sama ada di peringkat nasional atau setempat.

Melihat situasi tersebut, nampaknya hanya DAP yang boleh diharap untuk membawa nama PH di Chini.

Selama ini, DAP mendabik dada menyatakan parti itu berjuang untuk semua kaum termasuk orang Melayu meskipun majoriti pemimpinnya terdiri daripada kaum Cina.

Sejak 2008, parti yang sinonim dengan politik cauvinis itu bergiat aktif merekrut golongan muda Melayu khususnya yang berpelajaran tinggi dan mempunyai pemikiran liberal.

Strategi tersebut dikatakan mempunyai kaitan dengan usaha meyakinkan orang Melayu bahawa DAP bukanlah parti yang bersifat kecinaan seperti yang sering didakwa pihak lawan.

Selain itu, pemimpin-pemimpin muda Melayu DAP boleh diketengahkan untuk bertanding di kawasan yang mempunyai pengundi Melayu yang agak ramai.

Pada PRU-14, DAP masih belum berani melaksanakan strategi bertanding di semua kawasan DUN yang secara tradisinya menyokong BN.

Pemimpin wanita muda Melayu DAP, Young Syefura Othman diletakkan di Ketari yang menjadi kerusi tradisi DAP dan beliau menang.

Seorang lagi calon Melayu DAP, Abu Bakar Lebai Sudin kalah teruk di Pulau Manis yang sememangnya kubu kuat UMNO.

Berdasarkan keputusan di Ketari dan Pulau Manis, dapat dilihat DAP masih belum menerima kepercayaan pengundi Melayu.

Namun, DAP tidak sepatutnya berputus asa dan parti Malaysian Malaysia itu boleh menebus maruah dengan bertanding di Chini.

Sudah tentu ramai pemimpin muda Melayu DAP yang menunggu giliran untuk menjadi calon PH dalam pilihan raya.

Setelah bertahun-tahun menjalani proses indoktrinasi, berilah mereka peluang menunjukkan kebolehan untuk memenangi hati orang Melayu.

Lebih-lebih lagi di DUN Chini yang mempunyai ramai warga Felda berketurunan Melayu.

Walau bagaimanapun, kata pemutus berada dalam genggaman pucuk pimpinan DAP untuk untuk mencongak sama ada parti itu mampu menghalang BN daripada menang percuma di Chini. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.