Tidak perlu bubar Parlimen lebih awal

312

9 JUN: Kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak perlu tergesa-gesa membubarkan Parlimen bagi membolehkan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) berikutan tekanan yang diberikan oleh pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan (PH).

Penganalisis politik, Prof Emeritus Datuk Dr Zainal Kling berkata, kerajaan PN tidak perlu berbuat demikian kerana perkara paling penting sekarang adalah semua pihak perlu bekerjasama bagi memastikan negara benar-benar bebas daripada masalah penularan wabak COVID-19.

Beliau yang juga Ketua Kluster Sejarah Warisan dan Sosiobudaya Majlis Profesor Negara (MPN) berkata, Malaysia sekarang juga menghadapi masalah kewangan kesan daripada penurunan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan kemelesetan ekonomi global.

ZAINAL KLING

“Jika kerajaan PN gagal menangani isu lebih utama iaitu penularan wabak COVID-19 dan memulihkan semula ekonomi, maka sudah tentu negara akan mengalami masalah lebih serius.

“Jadi bagi saya jika kerajaan PN dan pembangkang masing-masing sibuk dengan mahu berebut kuasa dan berhasrat mahu mengadakan PRU-15 maka kita sudah silap pecaturan.

“Kalau kerajaan mahu adakan PRU-15 sekarang tidak mustahil berlaku gelombang kedua atau ketiga wabak COVID-19 seperti di beberapa negara lain di dunia,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Justeru, beliau menegaskan bahawa PRU-15 tidak sesuai diadakan dalam masa terdekat kerana bukan hanya boleh menjejaskan kestabilan politik dan ekonomi negara, malah membahayakan nyawa seluruh rakyat Malaysia.

“Kalau boleh saya berharap semua pemimpin berhenti bermain politik atau sibuk berebut kuasa atau menawarkan diri untuk menjadi Perdana Menteri baharu.

“Sebaliknya mereka semua patut bekerjasama dan berganding bahu dengan pihak berkuasa untuk menangani masalah COVID-16 sehingga tiada lagi kes jangkitan baharu berlaku,” katanya.

Berikutan itu beliau merayu kepada semua ahli politik supaya memberi peluang dan kerjasama sepenuhnya kepada kerajaan PN untuk menangani masalah penularan wabak COVID-19 dan memulihkan ekonomi negara, sebelum mereka kembali berentap dalam arena politik serta meneruskan desakan supaya diadakan PRU-15 nanti. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.