Sitaan tak wujud, Mahkamah Tinggi tolak lucut hak BN JB

29

9 JUN: Permohonan pendakwaan melucut hak wang berjumlah RM957,395.65 yang disita daripada BN Johor Bahru ditolak.

Perkara itu diputuskan Mahkamah Tinggi Jenayah KL hari ini dimana Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh ketika membacakan keputusan beliau hari ini memutuskan, pihak pendakwaan gagal membuktikan syarat-syarat di bawah Seksyen 56 Akta 613 melucut hak harta tersebut.

“Permohonan bagi pelucut harta di bawah seksyen 56 Akta 613 hanya boleh dibuat bagi harta yang di sita bawah Akta tersebut.

“Perintah sitaan yang ditujukan dengan khilaf tidak menjadikannya satu perintah sitaan yang betul dan sah. Hakikatnya, akaun Maybank Berhad Primier Mudharabah yang dimiliki oleh BN Bahagian Johor Bahru tidak pernah dibekukan atau disita undang-undang.

“Natijahnya membinasakan permohonan ini. Dalam kes ini, saya dapati sitaan sebenarnya tidak wujud tanpa satu perintah sitaan yang sah.

“Berdasarkan imbangan kebangkalian, pemohon telah gagal buktikan syarat-syarat di bawah seksyen 56 Akta 613 untuk melucut hak wang sejumlah RM957,395.65 dalam akaun BN Bahagian Johor Bharu. Oleh yang demikian, saya tolak permohonan ini,” katanya.

Wang yang disita Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tahun lalu itu didakwa berkaitan dengan skandal penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pada 27 September tahun lalu, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk memasukkan nama pemegang jawatan BN Johor Bahru dalam notis melucut hak harta cawangan parti politik itu.

Sebelum ini, bekas Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya dilaporkan berkata, permohonan perlucutan hak telah difailkan terhadap 41 responden untuk memperoleh semula dana kira-kira RM270 juta yang mempunyai kaitan dengan 1MDB.

Latheefa berkata, tindakan itu diambil mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLA) dan suruhanjaya itu percaya wang berkenaan dipindahkan daripada akaun bank bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Timbalan Pendakwa Raya, Samihah Rhazali kemudian bangkit memohon untuk diberikan masa 14 hari bagi memfailkan rayuan serta ‘stay order’ berhubung keputusan sebentar tadi.

Ahmad Shahrir membenarkan permohonan tersebut. – Oleh ASLINDA NASIR

Get real time updates directly on you device, subscribe now.