Siasat dakwaan salah guna kuasa Tun Mahathir, Guan Eng

211

9 JUN: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) seharusnya menyiasat kemungkinan terdapat salah guna kuasa yang dilakukan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Pengamal undang-undang, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz berkata, tindakan itu perlu berikutan pendedahan bukti bertulis yang mendakwa Dr Mahathir ialah dalang sebenar di sebalik surat pemohonan pembatalan pembekuan akaun milik seorang taikun hartanah dipercayai ditulis Guan Eng kepada bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas.

“Campur tangan Dr Mahathir dalam kes surat Guan Eng bagi meminta Peguam Negara membatalkan pembekuan akuan taikun hartanah boleh dikategorikan salah guna kuasa yang serius.

“Oleh itu, SPRM patut sangat buka kertas siasatan kerana ia membabitkan kepentingan umum apa kaitan sebenar antara seorang Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dengan sebuah syarikat hartanah,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Berikutan itu, Mohd Khairul Azam menggesa rakyat Malaysia membuat laporan polis berhubung dakwaan penyalahgunaan kuasa membabitkan Dr Mahathir dan Guan Eng .

Sebelum ini, sebuah portal berita mendakwa Guan Eng pernah mengutus surat kepada Tommy Thomas meminta Jabatan Peguam Negara (AGC) membatalkan pembekuan akaun bank milik seorang taikun hartanah.

Taikun hartanah itu didakwa sedang disiasat berhubung transaksi kewangan berjumlah RM4 juta yang berkait dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Dalam perkembangan lain, Mohd Khairul Azam, melahirkan kebimbangan bahawa Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA) disalahgunakan oleh pihak tertentu bagi ‘membunuh’ kerjaya politik seseorang pemimpin.

“Apa yang lebih membimbangkan banyak pemimpin politik yang dibebas dan dilepaskan daripada pertuduhan kes AMLA selepas kerajaan bertukar tangan.

“Kenapa boleh berlaku demikian adakah tafsiran undang-undang berubah selepas bertukar kerajaan?” soalnya.

Beliau juga kesal situasi sedemikian berlaku ketika Pakatan Harapan (PH) berkuasa dahulu sedangkan mereka sering mendabik dada kononnya mendukung kedaulatan undang-undang. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.