Musa hargai profesionalisme institusi kehakiman negara

124

9 JUN: Bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman menyatakan penghargaan kepada badan pendakwaan dan kehakiman negara terutamanya mereka yang telah bertindak secara objektif, profesional, berkecuali dan tanpa prejudis dalam menilai fakta kesnya sejak dua tahun.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Sibuga itu bersyukur kepada Allah SWT kerana akhirnya dengan izin-Nya, beliau diberikan keadilan untuk membersihkan segala tuduhan yang sekian lama dibuat ke atas dirinya.

“Permohonan untuk membatalkan pendakwaan yang telah difailkan awal tahun ini telah dibuat dengan cukup teliti dengan disokong oleh keterangan dan dokumen bukti yang cukup jelas dan nyata yang tidak dapat dipertikaikan.

“Terima kasih kepada barisan peguam saya bersama pembantu mereka yang telah memberi perkhidmatan yang cukup baik dan berdedikasi sepanjang tempoh ini,” katanya dalam kenyatan media, hari ini.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini melepas dan membebaskan bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman daripada semua 46 tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan kontrak konsesi balak di Sabah.

Dalam pada itu, Musa berkata, apa yang telah berlaku kepada dirinya dan keluarga, biarpun dilihat terjadi kerana perbezaan politik, dianggap sebagai ujian dan dugaan Allah SWT untuknya sekeluarga.

Beliau juga berterima kasih kepada semua keluarganya yang sentiasa bersama dan bersabar serta sentiasa mendoakan sepanjang dugaan ini.

“Sesungguhnya Allah SWT Maha Adil dan janji-Nya itu benar dan pasti bagi hambanya yang sabar,” jelasnya.

Turut menerima penghargaan daripada Musa ialah rakan-rakannya serta pengamal media yang membuat liputan kes tersebut.

Musa turut menyeru semua pihak untuk bermaaf-maafan dan berdoa agar diberi kekuatan bagi menghadapi ujian pandemik COVID-19.

“Semoga negara kita akan segera pulih dari dugaan ini dan kita terus dapat berbakti untuk agama, bangsa dan negara tercinta,” katanya. – Oleh ASLINDA NASIR

Get real time updates directly on you device, subscribe now.