Kekalkan OPR pada kadar 2%

18

9 JUN: Pasaran Malaysia tidak memerlukan pemotongan kadar faedah semalaman (OPR) sekurang-kurangnya untuk tempoh enam bulan akan datang.

Timbalan Pengerusi 2 Lajnah Ekonomi, Hartanah dan Pembangunan Usahawan PAS, Mazli Noor berpandangan, pasaran monetari Malaysia dengan OPR 2 peratus pada masa ini berada dalam situasi optimum.

Menurut beliau, salah satu faktor yang menyokong pandangan itu adalah pertumbuhan pinjaman.

“Berdasarkan data terkini Bank Negara Malaysia (BNM) kadar pertumbuan pinjaman semasa adalah pada 4 peratus setakat April 2020, yang mana ia disokong oleh kadar pertumbuhan pinjaman sektor perniagaan yang tumbuh pada 4.7 peratus.

“Walau bagaimanapun, pertumbuhan pinjaman untuk sektor isi rumah turun kepada 3.3 peratus.

“Secara keseluruhan nisbah pinjaman kepada deposit (LDR) berada pada 82.5 peratus, disokong oleh kadar deposit darpada penyimpan inidividu yang tumbuh pada 6.2 peratus setakat April 2020,” katanya seperti dipetik dari kenyataan yang disiarkan Harakahdaily.

MAZLI NOOR

Mazli menambah, bagi terus menyokong pertumbuhan ekonomi terutama pasca pandemik COVID-19, pertumbuhan pinjaman dan deposit harus berada pada paras optimum.

Beliau menjelaskan, untuk menggalakkan penyimpan terus membuat deposit dan pelaburan maka OPR harus dikekalkan pada tahap sekarang.

“Kami berpandangan penurunan OPR di bawah paras 2 peratus akan menjejaskan pertumbuhan deposit yang seterusnya memberi kesan kepada kadar pertumbuhan pinjaman,” ujarnya.

Mazli membertahu, di samping faktor kadar pertumbuhan deposit dan pinjaman, faktor paras harga juga memerlukan OPR dikekalkan pada tahap sekarang bagi memastikan ia kekal optimum dan mengelakkan tekanan deflasi, kesan daripada krisis pandemik COVID-19.

“Data terkini daripada Jabatan Statistik menunjukkan paras Indeks Harga Pengeluar (PPI) turun sebanyak 5.1 peratus untuk April 2020 berbanding tahun lepas, penurunan paling drastik semenjak November 2015. Untuk bulanan PPI turun pada 2.7 peratus berbanding Mac 2020.

“Di samping itu Indeks Harga Pengguna (CPI) juga mengalami penurunan pada 2.9 peratus berbanding April 2019, penurunan paling drastik semenjak 2010. Untuk bulanan CPI juga turun pada kadar 2.7 peratus berbanding Mac 2020,” katanya.

Justeru, Mazli berpandangan, paras harga sekarang harus dikekalkan bagi mengekalkan keseimbangan pasaran.

“Dengan mengekalkan OPR pada paras 2 peratus untuk tempoh sekarang, akan mengimbangi kelangsungan di pihak pengeluaran dan juga permintaan, yang seterusnya boleh menyokong dan menyelamatkan ekonomi,” jelasnya.

Secara keseluruhannya, kata Mazli, kadar OPR sekarang adalah optimum dan seimbang untuk terus menyokong pengeluaran dan permintaan, juga pada masa yang sama menggalakkan pertumbuhan deposit dan pinjaman. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.