Gantung keahlian pemimpin Armada disiasat SPRM

193

9 JUN: Beberapa pemimpin Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) yang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kes rampasan wang sebanyak RM600,000 perlu digantung sementara keahlian mereka.

Gesaan itu ditegaskan dalam kenyataan bersama 14 ketua Armada bahagian di Kelantan, semalam.

Mereka berharap pucuk pimpinan parti mengambil tindakan tegas terhadap ahli-ahli Armada terbabit sekiranya disabitkan kesalahan.

“Kami seramai 14 orang Ketua Armada Bahagian di Kelantan mengecam tindakan ini yang merosakkan imej Armada keseluruhannya hanya kerana segelintir pemimpin Armada atasan yang melakukan perkara terkutuk ini.

“Kami berharap pimpinan atasan Bersatu membersihkan kesemua individu yang terlibat dengan kes ini dan menggantung keahlian mereka seketika sementara siasatan dijalankan. Perkara ini perlu dijadikan iktibar kepada mereka yang terlibat dalam penyalahgunaan kuasa,” kata mereka.

Ketua-ketua Armada bahagian yang membuat kenyataan itu ialah Datuk Muhammad Amiin Ridhuwan (Pasir Mas), Nas Azreel Nasruddin (Pengkalan Chepa), Mohd Ridhwan Nordin (Tanah Merah), Ahmad Firdaus Nawi (Machang), Nik Mohd Haniff Paramli (Gua Musang), Mohd Suhardi Mohd Fauzi (Tumpat), Datuk Saizo Abd Ghani (Kota Bharu), Mohd Ilmie Sapie (Jeli), Mohd Fami Zakaria (Bachok), Syed Mohd Amiruddin Syed Aluawi (Rantau Panjang) Aiman Zawawi (Ketereh) dan WM Syakir WM Azlan (Kuala Krai).

Mereka juga berpandangan bahawa siasatan SPRM itu bukan bermotifkan politik menjelang pemilihan Armada ketika ini.

“Tetapi adalah disebabkan siasatan yang dilakukan berikutan kehilangan wang RM250,000 di dalam peti besi di rumah bekas Ketua Armada, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang tersendiri gugur dari keahlian Bersatu baru-baru ini,” jelas mereka.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.