Ekonomi Malaysia pulih akhir 2020 – Bank Dunia

16

9 JUN: Bank Dunia menjangka ekonomi Malaysia akan berada di landasan pemulihan mulai akhir tahun ini dan kembali berkembang pada awal 2001.

Perkara itu dinyatakan oleh Pengurus Negara Bank Dunia bagi Malaysia, Dr Firas Raad dalam program The Nation yang bertemakan ‘Pelan Pemulihan Ekonomi (Perpekstif Bank Dunia)’ di Bernama TV, semalam.

Menurut beliau, dasar yang menyokong pertumbuhan, ditambah dengan insentif bagi menggerakkan sektor swasta merupakan ramuan penting yang perlu diambil bagi membantu negara pulih daripada kegawatan ekonomi.

“Negara pertama sekalinya perlu meneruskan langkah-langkah kesihatan awamnya yang efektif bagi memastikan tidak berlakunya gelombang kedua atau virus (COVID-19) kembali semula.

“Selain daripada itu, (ia mesti) terus menyokong isi rumah yang terjejas dan menumpukan kepada syarikat yang memerlukan sokongan dan pemulihan, terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS), dan kemudiannya mula memikirkan agenda pembaharuan jangka sederhana,” jelasnya.

Firas menambah, Malaysia perlu meneruskan agenda pembaharuan seperti yang melibatkan tadbir urus, persekitaran kawal selia dan persaingan sektor ekonomi serta pembaharuan pendidikan dalam usahan mencapai status negara berpendapatan tinggi.

“Untuk mencapai status negara berpendapatan tinggi Malaysia perlu meningkatkan pertumbuhan produktiviti dan ia hanya dapat dicapai dengan pelaburan besar dalam modal insan,” ujarnya.

Beliau memberitahu, Bank Dunia sedang menilai semula impak ekonomi penularan pandemik COVID-19 ke atas ekonomi Malaysia sebelum memutuskan sama ada untuk menyemak semula sasaran pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) 2020 bulan ini.

April lalu, Bank Dunia menurunkan unjuran pertumbuhan KDNK 2020 Malaysia daripada 4.5 peratus kepada -0.1 peratus, ketika COVID-19 sedang menular.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.