2 inisiatif Prihatin dianjak bawah Penjana

46

9 JUN: Dua inisiatif di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin (Prihatin) akan dianjakkan di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) untuk pelaksanaan yang lebih berkesan dalam memberi manfaat kepada sasar.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, inisiatif pertama adalah Program Pengekalan Pekerja (ERP) Prihatin akan disatukan di bawah Program Subsisi Upah yang ditambah baik di bawah Penjana berkuat kuasa 15 Jun ini.

Menurut beliau, kerajaan mengambil langkah itu berikutan jumlah permohonan ERP yang berkurangan apabila 12.7 juta atau 83.5 peratus pekerja kembali bekerja selaras dengan pembukaan ekonomi pada awal Mei lalu.

“Dari 15,000 permonan seminggu pada April sehingga kurang 300 seminggu pada awal Jun,” jelasnya ketika membentangkan status pencapaian Pakej Prihatin dan ulasan Penjana secara langsung melalui Facebook, hari ini.

Tengku Zafrul memberitahu, penambahbaikan program tersebut adalah dari segi kebenaran yang diberikan kepada majikan untuk memohon bantuan bagi pekerja yang mengambil cuti tanpa gaji.

Selain itu, beliau menambah, subsidi upah juga lebih bersasar untuk membantu pekerja dalam sektor pelancongan dan sektor-sektor dalam senarai aktiviti dilarang semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Memandangkan bantuan ini diberi kepada mereka yang bekerja dan bercuti tanpa gaji Program Subsidi Upah yang dilanjutkan selama tiga bulan dijangka akan dapat membantu majikan mengekalkan lebih banyak pekerja dan menyelamatkan pekerjaan,” jelasnya.

Inisiatif kedua pula, kata Tengku Zafrul, melibatkan konsolidasi program-program fasiliti sebanyak RM7 bilion dan bantuan pembiayaan termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Menurut beliau, semua pembiayaan yang disalurkan melalui agensi kerajaan iaitu Bank Negara Malaysia, Bank Simpanan Nasional dan TEKUN akan diletakkan di bawah satu payung iaitu Penjana.

Secara keseluruhan, pakej Prihatin dan Penjana yang dilaksanakan kerajaan untuk mengurangkan beban rakyat akibat COVID-19 melibatkan nilai RM295 bilion dimana sebanyak RM45 bilion adalah suntikan fiskal langsung. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.