UMNO tetap bersedia walaupun mungkin tiada pertandingan

90

8 JUN: Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang sentiasa bersedia untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini walaupun terdapat kemungkinan Pakatan Harapan (PH) tidak meletakkan calon.

Pengerusinya, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kerja-kerja awalan dan tinjauan telah dimulakan oleh jentera Barisan Nasional (BN).

“Sebelum ini Allahyarham Datuk Seri Abu Bakar Harun telah memberikan perkhidmatan yang sangat baik di DUN Chini dan kita dapat lihat setelah empat kali bertanding Allahyarham mendapat sokongan yang sangat tinggi daripada pengundi-pengundi DUN Chini.

“Buat masa ini bila ada kekosongan Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahan dan kerajaan negeri Pahang juga telah melihat untuk membantu apa-apa yang masih belum diselesaikan atau mana yang boleh kita selesaikan cuba selesaikan dengan kadar segera,” katanya seperti dilaporkan UMNO Online.

Menteri Besar Pahang itu mengulangi harapannya agar parti lawan mendengar rayuan pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) supaya tidak berlaku pertandingan dalam PRK DUN Chini.

Beliau menyatakan, apa sahaja keputusan PRK tersebut, ia tidak akan mengubah kedudukan BN sebagai parti pemerintah di Pahang.

“Dan, jadi kalau tidak ada pertandingan kita dapat menjaga keselamatan kita kerana COVID-19 dan dalam masa yang sama kita dapat menjimatkan duit kerajaan, kerana kita tahu bila ada PRK, SPR akan membelanja sejumlah peruntukan yang cukup besar sekali,” jelasnya.

Pada masa yang sama, Wan Rosdy berkata, BN Pahang tidak bersikap sambil lewa dan melakukan persiapan untuk berdepan kemungkinan dicabar oleh pihak lawan.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.