Propaganda Amanah politikkan peruntukan TARUC gagal

108

8 JUN: Tindakan Parti Amanah Negara (Amanah) cuba mempolitikkan peruntukan yang disalurkan kepada Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman (TARUC) disifatkan sebagai propaganda yang gagal.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, sejak penubuhan universiti itu diluluskan pada 1969 dan Geran Pembiayaan Sepadan diluluskan secara rasmi di Parlimen, kerajaan telah menyalurkan dana kepada TARUC setiap tahun sehingga kini.

Walau bagaimanapun, beliau memberitahu, selepas Pakatan Harapan (PH) memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), TARUC hanya menerima RM5.5 juta bagi peruntukan pembangunan manakala tiada dana disalurkan bagi peruntukan pengurusan.

“Peruntukan TARUC menjadi salah satu isu Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai.

“Selepas PH kalah teruk dalam PRK Parlimen Tanjung Piai, mereka buat pusingan U dan berjanji mahu menyalurkan peruntukan sekurang-kurangnya RM40 juta setiap tahun kepada TARUC,” katanya dalam hantaran Facebook beliau, malam tadi.

Najib mendakwa, sumbangan itu tidak disalurkan terus kepada UTAR, sebaliknya kepada Persatuan TARUC (TAA) yang dikatakan pro-PH dengan ahli seramai 7,000 orang.

Walhal, kata beliau, jumlah alumni TARUC termasuk Timbalan Presiden Amanah, Datuk Salahuddin Ayub adalah kira-kira 300,000 orang.

Menurut Najib, kerajaan terdahulu di bawah PH telah menyalurkan peruntukan RM40 juta kepada TAA pada Disember 2019.

“Selepas kerajaan PH tumbang, persatuan Alumni setuju pulangkan baki dana sebanyak RM18 juta (dari RM40 juta) kepada Kementerian Kewangan,” jelasnya.

Beliau berkata, peruntukan RM58 juta untuk TARUC yang diumumkan kerajaan PN dua minggu lalu merangkumi RM18 juta yang dipulangkan oleh TAA dan dana RM40 juta bagi 2020.

“Jika PH masih memerintah, mereka juga akan salurkan RM40 juta lagi kepada persatuan alumni untuk tahun 2020 dan bukan terus kepada universiti berkenaan,” dakwa Najib.

Beliau menambah, semasa menjadi Perdana Menteri dahulu, TARUC telah bersetuju bahawa jumlah peruntukan setiap tahun tidak akan melebihi RM60 juta kerana universiti tersebut mampu mencari sumbangan sendiri setiap tahun dari pihak swasta.

“Jauh lebih rendah berbanding universiti-universiti awam lain yang biasanya sebanyak RM400 juta hingga mencecah RM1 bilion setahun,” jelasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Najib menyatakan, TARUC bukan sebuah institusi pendidikan Cina malah kursus-kursusnya diajar dalam bahasa Inggeris dan bahasa Melayu.

“Pada masa ini, sebanyak 400 daripada jumlah 1,580 staf TARUC (25 peratus) terdiri daripada kakitangan berbangsa Melayu,” katanya.

Beliau memberitahu, TARUC turut menerima kemasukan pelajar dari semua kaum dan selain Salahuddin, bekas Timbalan Menteri Pendidikan II, Datuk P. Kamalanathan merupakan salah seorang alumni universiti berkenaan. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.