Ekonomi Malaysia beransur pulih Q3 2020

138

JUN 8: Ekonomi Malaysia dijangka beransur pulih mulai suku ketiga 2020, kesan daripada pelaksanaan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang bermula 10 Jun ini.

Ketua Penganalisis Ekonomi Bank Islam Malaysia Berhad, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, pelaksanaan PKPP dan Penjana bakal memberi kesan positif terhadap ekonomi negara.

Menurut beliau, proses pembukaan ekonomi telah pun berlaku secara beransur-ansur dan kerajaan telah memperkenalkan pakej rangsangan ekonomi yang besar sebelum ini.

“Justeru, pengumuman Penjana bakal melengkapi program yang sedia ada. Berkenaan dengan unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) iaitu sekitar -2 peratus dan +0.5 peratus, ia adalah suatu julat yang bersesuaian.

“Ini adalah kerana negara bakal mencatatkan pertumbuhan KDNK yang negatif pada suku kedua. Namun, pembukaan ekonomi yang beransur-ansur diserata dunia dan ditambah pula rangsangan ekonomi dari pihak kerajaan dan dasar monetari yang begitu akomodatif yang dilaksanakan oleh pihak Bank Negara Malaysia (BNM), pemulihan ekonomi dijangka berlaku seawal suku ketiga tahun ini,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelaksanaan PKPP yang membolehkan rakyat merentas negeri serta membuka lebih banyak ruang untuk kegiatan perniagaan beroperasi.

Terdahulu, pada Jumaat lalu, beliau mengumumkan Penjana yang merangkumi 40 inisiatif bernilai RM35 bilion bagi merangsang sektor ekonomi yang terjejas akibat COVID-19. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.