DAP amal strategi politik luar tabii – Shahrir

238

8 JUN: DAP menggunakan strategi yang disifatkan di luar tabii politik apabila menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada pemimpin parti yang mempunyai bilangan kerusi terkecil dalam Pakatan Harapan (PH).

Tokoh veteran UMNO, Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata, selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Yang di-Pertuan Agong ketika itu menawarkan jawatan Perdana Menteri kepada Presiden PKR kerana parti itu mempunyai bilangan kerusi terbanyak dalam PH.

Namun, beliau memberitahu, DAP telah melakukan tindakan di luar tabii politik dengan menyerahkan jawatan itu kepada bekas Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Dengan persetujuan akan adanya Majlis Presiden PH dan jawatan Perdana Menteri itu nanti akan diserah kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim. Satu strategi luar tabii.

“Dan tidak disangka juga, Dr Mahathir membuat sesuatu sesuka hatinya yang juga di luar tabii, iaitu meletak jawatan Perdana Menteri tanpa memaklumkan kepada Majlis Presiden PH.

“Kesemuanya untuk pastikan Anwar tidak pula dimajukan sebagai calon Perdana Menteri pilihan PH,” katanya melalui laman Facebook beliau, hari ini.

Namun, Shahrir memberitahu, pakar strategi politik DAP, Liew Chin Tong masih belum berputus asa dengan strategi lapuk yang direka partinya dua tahun lalu.

Beliau menyatakan, perkara itu dapat dilihat apabila Chin Tong mencadangkan supaya Dr Mahathir berpakat semula dengan Anwar untuk menjatuhkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Soalnya adalah mengapakah Chin Tong tetap hendak guna pakai strategi politik luar tabii.

“Patutnya dia kembali kepada kebiasaan politik, iaitu parti yang terbesar dalam sesuatu gabungan yang memegang tampuk kepimpinan,” katanya.

Shahrir berkata, keputusan memberi kepimpinan kepada parti yang terkecil akan menyebabkan PH menjadi tidak stabil dan terdedah kepada konspirasi serta percaturan politik. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.