Rakyat Malaysia pulang luar negara dibenar kuarantin dirumah

71

7 JUN: Rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara dan disaring negatif Covid-19 tidak lagi perlu menjalani kuarantin di pusat kuarantin bermula 10 Jun.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob berkata, mereka dibenarkan menjalankan kuarantin di rumah masing-masing selama 14 hari dengan SOP yang ketat.

“Bermula 10 Jun 20202 rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara tidak lagi akan dikuarantin wajib di pusat kuarantin. Sejurus tiba di lapangan terbang mereka akan menjalani swab test.

“Bagi mereka yang didapati positif, mereka akan dihantar ke hospital untuk rawatan. Bagi mereka yang negatif, mereka perlu menjalani kuarantin wajib 14 hari di kediaman masing-masing,” katanya ketika sidang media harian.

Tambah Ismail Sabri, kesemua yang baru pulang ini juga diwajibkan untuk memuat turun aplikasi MySejahtera dan akan dipantau melalui aplikasi ini.

Mereka juga diwajibkan memakai gelang tangan kuarantin (wristband) bagi memudahkan proses identifikasi. 

“Setiap pergerakan mereka akan dipantau melalui aps MySejahtera.

“Mana-mana individu yang mengingkari arahan kuarantin wajib dan SOP yang ditetapkan akan dikompaun RM 1,000 dan dihadapkan ke Mahkamah,” katanya.

Menurut Ismail Sabri, kerajaan mengambil keputusan ini setelah mengambil kira kadar jangkitan COVID-19 di negara-negara lain yang sudah terkawal dengan lengkung jangkitan yang melandai dan menurun.

“Kerajaan juga telah berjaya meningkatkan keupayaan untuk membuat ujian saringan COVID-19 di pintu-pintu masuk antarabangsa.

“Kepatuhan kuarantin wajib 14 hari di kediaman masing-masing juga dapat dipantau oleh pihak berkuasa melalui aplikasi MySejahtera,” ujarnya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.