Pengundi 18 tahun belum dilaksanakan-SPR

26

7 JUN: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menafikan maklumat tentang mereka yang berumur 18 tahun boleh didaftar sebagai pengundi.

Mengesahkan perkara itu, Pengerusinya Azhar Azizan Harun berkata setakat ini pihaknya masih mengekalkan sistem yang sama dan pengundi 18 tahun masih belum dilaksanakan.

Ia sekaligus menolak gesaan PH yang sebelum ini berkata golongan muda berumur 18 tahun berhak mengundi dan mereka akan didaftar sebagai pengundi secara automatik.

“Pendaftaran pengundi 18 tahun akan dilaksanakan serentak dengan pendaftaran pemilih secara automatik setelah segala persiapan SPR diselesaikan termasuklah penyediaan pindaan kepada Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002 dan undang-undang lain yang berkaitan, penyediaan prosedur operasi standard (SOP) serta penyediaan sistem dan infrastruktur.

“Kesemua persiapan ini dijangka selesai selewat-lewatnya pada Julai tahun hadapan,” katanya dalam kenyataan media, Ahad.

Azhar berkata SPR dari semasa ke semasa akan mengeluarkan kenyataan media rasmi untuk sebarang perkembangan terkini dan menyeru kepada orang ramai untuk merujuk terlebih dahulu kepada SPR melalui laman rasmi www.spr.gov.my atau Facebook rasmi SPR atau menghubungi talian 03-8892 7200 bagi mengelakkan penularan berita palsu.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.