Wan Zulkiflee dilantik Pengerusi baharu MAB

382

6 JUN: Presiden / Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petroliam Nasional Berhad (Petronas), Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin akan dilantik sebagai Pengerusi baharu Malaysia Airlines Berhad (MAB) mulai 1 Julai ini.

Berikutan itu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz bakal dilantik sebagai Presiden / Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, bagi menggantikan Wan Zulkiflee berkuat kuasa mulai tarikh sama.

“Bagi pihak kerajaan Malaysia, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih atas kepimpinan dan sumbangan Tan Sri Wan Zulkiflee selama 37 tahun bersama Petronas.

“Beliau telah berjaya mengekalkan Petonas sebagai salah sebuah syarikat kerajaan yang mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh dan ditadbir dengan cemerlang.

“Malah, Petronas juga adalah satu-satunya syarikat kerajaan yang mempunyai penilaian kredit antarabangsa yang baik dan masih tersenarai dalam Fortune Global 500,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Justeru, Muhyiddin percaya MAB di bawah kepimpinan Wan Zulkiflee akan dapat distruktur semula dan terus berkembang sebagai syarikat penerbangan nasional yang berdaya tahan dan mampan serta mempunyai tadbir urus yang baik.

Pada masa yang sama, beliau juga percaya kemahiran dan pengalaman dimiliki Tengku Muhammad Taufik dan Pengerusi Petronas, Datuk Ahmad Nizam Salleh, mampu membantu syarikat berkaitan kerajaan (GLC) berkenaan mengharungi cabaran dan ketidaktentuan harga minyak dan ekonomi global yang merudum sekarang.

“Saya percaya dengan kemahiran dan pengalaman yang dimiliki oleh Tengku Muhammad Taufik dan Ahmad Nizam, akan dapat memimpin Petronas ke mercu kecemerlangan,” katanya.

Tambah Muhyiddin, dalam suasana ekonomi yang mencabar sekarang, terdapat beberapa GLC yang perlu diperkukuhkan lagi bagi menghadapi norma dunia yang baharu.

“Kerajaan dalam hal ini meneruskan usaha mengkaji semula kepimpinan GLC bagi memastikan penyelarasan dasar dan pencapaian objektif sosioekonomi negara,” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.