Tidak perlu PRK Chini jika semua beri laluan kepada BN

225

6 JUN: PRK Dewan Undangan Negeri Chini tidak perlu diadakan jika parti-parti politik atau calon Bebas memberi laluan kepada penyandang atau calon BN menang tanpa bertanding pada pilihan raya kecil tersebut.

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail ketika membuat saran tersebut berkata, ini dapat mengelakkan pergerakan serta aktiviti menjelang dan semasa PRK tersebut, yang dibimbangi boleh menyumbang kepada penularan wabak Covid-19.

Ini bermakna tempoh berkempen 14 hari bermula hari penamaan Calon pada 20 Jun 2020 sehingga hari pengundian pada 4 Julai 2020, tidak perlu diadakan. 

“Saya mohon kerjasama semua parti-parti politik serta calon Bebas agar memberi laluan kepada penyandang atau calon Barisan Nasional untuk menang tanpa bertanding pada PRK Chini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Setakat ini, PKR sudah menyatakan tidak akan meletakan calon bertanding pada PRK Chini yang diadakan kerana menyedari kesan dan kekangan berkempen ketika Covid-19 masih melanda negara ini.  

Menurut Wan Rosdy, saranan ini selari dengan pandangan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang berkata, sekarang bukan masa sesuai mengadakan Pilihanraya Umum (PRU) di negara ini berikutan keadaan tidak mengizinkan dan tumpuan seharusnya diberi kepada usaha mengekang penularan wabak pandemik ini. 

Dengan tidak mengadakan PRK DUN Chini, ini juga boleh menjimatkan kos RM4.3 juta  yang bakal ditanggung oleh Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) selain kos oleh calon serta parti-parti yang bertanding. 

Tambah Wan Rosdy, apa yang beliau  katakan ini tidaklah bermakna BN atau UMNO bersikap riak atau takabbur tetapi sekadar menyatakan realiti semasa.

“Oleh itu, lebih munasabah dan praktikal jika parti-parti lain termasuk calon bebas atau mana-mana calon tajaan, supaya tidak bertanding. 

“Saranan ini mungkin dilihat tidak demokratik tetapi inilah penyelesaian terbaik dalam pada negara dan negeri ini masih dibelenggu dengan penularan wabak yang menggerunkan,” katanya lagi.

PRK DUN Chini diadakan berikutan kematian penyandang kerusi berkenaan, Datuk Seri Abu Bakar Harun pada 6 Mei 2020.

Allahyarham ialah Ahli Dewan Negeri (ADN) kawasan ini yang memenanginya pada tiga Pilihanraya Umum (PRU) lepas iaitu PRU-PRU tahun 2004, 2008, 2013 dan 2018.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.