Penjana ambil kira keluhan rakyat – Agong

27

6 JUN: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Sha, menyokong penuh pelaksanaan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) sebagai pelan menyeluruh, selain mengambil kira keluhan, keperluan dan kebajikan pelbagai lapisan masyarakat, industri dan perniagaan.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Samsuddin berkata,  Seri Paduka menzahirkan penghargaan kepada komitmen kerajaan dan pelaksanaan pelan bernilai RM35 bilion itu.

Beliau berkata, Al-Sultan Abdullah menzahirkan keyakinan bahawa pendekatan secara inklusif ini akan menjadi pemangkin kepada pemulihan dan pertumbuhan ekonomi jangka pendek serta mempertingkatkan keyakinan serta sentimen rakyat, perniagaan dan pelabur asing.

Ahmad Fadil berkata, Seri Paduka menzahirkan harapan pelaksanaan Penjana dilakukan dengan teliti dan dipantau secara menyeluruh supaya semua kumpulan sasar menerima manfaat, membolehkan objektif membantu rakyat serta merancakkan ekonomi negara tercapai.

“Kerajaan perlu dengan segera dan berkesan menangani impak wabak COVID-19 kepada ekonomi negara, khususnya kemudaratan terhadap kedudukan kewangan, ekonomi dan kesejahteraan rakyat”

“Seri Paduka amat prihatin terhadap kelangsungan hidup rakyat dan perniagaan, khususnya pengusaha perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan nasib pekerja yang terkesan akibat impak wabak ini,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Sehubungan itu, Ahmad Fadil berkata, Al-Sultan Abdullah menitahkan kepada rakyat untuk meneliti dan mengambil tahu serta bertindak dengan bijak bagi memanfaatkan inisiatif yang diumumkan.

“Rakyat juga disarankan untuk tidak memilih pekerjaan dan merebut peluang yang ada walaupun di dalam bidang dilakukan pekerja asing, sekali gus boleh mengurangkan kebergantungan kepada golongan berkenaan,” katanya.

Pada masa sama, Ahmad Fadil berkata, Yang di-Pertuan Agong menzahirkan penghargaan kepada kerajaan dan semua agensi berkaitan, khususnya petugas barisan hadapan atas pengorbanan dan komitmen dalam merawat serta memastikan rantaian COVID-19 dapat diputuskan.

“Rakyat diseru terus bersabar dan berdisiplin dengan tatacara serta amalan kebiasaan baharu dan mematuhi semua perintah dikeluarkan kerajaan. Disiplin rakyat adalah kunci utama menentukan kemenangan negara memutuskan rantaian penularan COVID-19”

“Al-Sultan Abdullah turut menangguhkan semua acara sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Baginda yang dirancang diadakan bulan ini berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat bagi mengekang COVID-19.

“Sebaliknya, Seri Paduka mengajak rakyat untuk bersama berdoa agar Malaysia terus dilindungi dan dirahmati supaya wabak ini dapat diakhiri segera,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.