Lanjutan subsidi upah bantu PKS terus beroperasi

81

6 JUN: Pelanjutan program subsidi upah yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam mengelakkan sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mengambil langkah drastik seperti pemberhentian pekerja.

Presiden Persatuan Pengilang dan Industri Perkhidmatan Bumiputera Malaysia (PPIPBM), Datuk Azman Yusof berkata, dalam situasi terkini, situasi terkini, banyak syarikat terpaksa melaksanakan pengecilan operasi sebagai langkah meminimumkan kos kewangan yang ditanggung mereka.

“Pelanjutan program ini juga tepat pada masanya ketika kebanyakan sektor ekonomi baru memulakan operasi dan membiasakan dengan norma baharu perniagaan.

“Mereka memerlukan tempoh masa mencukupi untuk kembali pulih serta meneruskan perniagaan seperti sedia kala, sekali gus menjana pulangan pendapatan yang kompetitif,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau mengulas tentang Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) yang diumumkan Muhyiddin, semalam.

Azman menambah, pengumuman tersebut sememangnya ditunggu-tunggu oleh komuniti perniagaan yang terkesan akibat pandemik COVID-19.

“PPIPBM melihat keputusan kerajaan untuk melanjutkan program subsidi upah sebanyak RM600 setiap pekerja bagi tempoh tiga bulan lagi, sudah pasti membantu banyak PKS terutamanya sektor pengilang dan industri perkhidmatan bumiputera dalam mengawal serta mengukuhkan aliran tunai perniagaan mereka,” jelasnya.

Pada masa yang sama, beliau berpandangan, Skim Pembiayaan PKS Penjana berjumlah RM2 bilion berupaya membantu PKS menyusun pelan perniagaan jangka pendek dan panjang.

“Pembiayaan ini turut membuka peluang kepada mereka mengembangkan perniagaan menerusi penerokaan pasaran baharu,” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.