Kurangkan kerenah birokrasi bantu rakyat – Ahmad Zahid

57

6 JUN: Kerenah birokrasi perlu diminimumkan bagi memastikan bantuan dan insentif yang diumumkan oleh kerajaan sampai kepada rakyat dan dinikmati mereka keseluruhannya.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turut berharap agar kerajaan kekal fokus dalam melaksanakan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam.

“Tiada guna jika insentif bagus, tetapi rakyat sukar untuk mendapatkannya.

“Semoga segala usaha murni kerajaan membantu rakyat dipermudahkan dan negara kekal sejahtera dalam mengharungi pandemik COVID-19 ini,” katanya melalui laman Favebook miliknya, hari ini.

Beliau turut menyifatkan Penjana sebagai satu inisiatif yang berteraskan rakyat, lebih-lebih lagi ketika negara berdepan dengan kadar pengganguran yang dijangka meningkat kepada 5.5 peratus sehingga akhir tahun 2020.

Ahmad Zahid berkata, ramalan itu membawa makna lebih 800,000 rakyat Malaysia tidak mempunyai pekerjaan.

Sehubungan itu, beliau tertarik dengan tiga insentif yang diumumkan semalam bagi membantu rakyat, pekerjaan mereka dan majikan.

“Perluasan Program Subsidi Upah bernilai RM5 bilion. Pakej Prihatin dan Prihatin PKS Tambahan yang telah dilaksanakan selama tiga bulan telah menyelamatkan 2.2 juta pekerjaan. Saya percaya, program ini juga mampu menyelamatkan lebih ramai rakyat Malaysia dari hilang pekerjaan sepanjang tempoh lanjutan.

“Program Insentif Pengambilan Pekerja berjumlah RM1.5 bilion. Lebih-lebih lagi apabila inisiatif ini mempunyai peruntukan khusus untuk kumpulan berumur 40 ke atas dan orang kurang upaya (OKU).

“Insentif peningkatan kemahiran untuk pengganggur dan kepada majikan yang menyediakan peluang perantis kepada lepasan sekolah dan graduan, dan peruntukan RM2 bilion bagi pelaksanaan kursus jangka pendek,” jelasnya. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.