Kelulusan solat Jumaat di WP tertakluk perkenan Agong

51

6 JUN: Kerajaan secara dasarnya bersetuju untuk melonggarkan syarat mendirikan solat berjemaah dan Jumaat tertakluk kepada keluasan sesebuah masjid khususnya di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kebenaran itu diberikan jika orang ramai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) terutamanya penjarakan sosial.

Walau bagaimanapun, beliau memberitahu, kelulusan rasmi untuk membenarkan solat berjemaah dan Jumaat didirikan di Wilayah Persekutuan masih tertakluk kepada perkenan Yang di-Pertuan Agong.

“Menteri Hal Ehwal Agama (Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri) telah membentangkan dalam Mesyuarat Khas Menteri pagi tadi dan mencadangkan pembukaan masjid diberi kelonggaran.

“Solat berjemaah dan Jumaat dulu kita hadkan hanya 30 orang saja. Tadi kita bersetuju kebenaran (solat jemaah) berdasarkan keluasan masjid. Asalkan ada penjarakan sosial, kita tiada halangan buka untuk orang ramai solat berjemaah,” katanya pada sidang media harian Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Putrajaya, hari ini.

Sementara itu, Ismail Sabri mengesahkan bahawa sehingga kini polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) membuka 266 kertas siasatan membabitkan berita palsu berkaitan COVID-19.

Mengulas lanjut, beliau berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 179 kes masih dalam siasatan, 30 kes sudah didakwa di mahkamah, 11kes lagi diberi notis amaran dan 18 kes mengaku bersalah.

Katanya, sebanyak 322 penafian dan penjelasan mengenai berita palsu diperjelaskan kepada orang ramai oleh Pasukan Respon Pantas (PRP) Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM).

Dalam perkembangan lain, beliau menyatakan, polis menahan seramai 21 individu dan mengeluarkan 277 kompaun atas pelbagai kesalahan ingkar PKPB semalam, namun tiada kompaun dikeluarkan atas kesalahan ziarah Aidilfitri.

“Sebanyak 32 kenderaan turut diarah patah balik atas cubaan merentas negeri tanpa kebenaran. Antara negeri yang mencatatkan cubaan rentas negeri yang tertinggi adalah Selangor (17), Pahang (6) dan Negeri Sembilan dan Melaka (4),” katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri mengesahkan bahawa seramai 2,861 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia yang negatif COVID-19 dihantar pulang ke negara asal bermula hari ini.

Beliau berkata, proses penghantaran pulang bagi fasa pertama itu membabitkan seramai 2,189 PATI di Depoh Tahanan Imigresen (DPI) di Semenanjung dan Sarawak, manakala 672 lagi di Sabah.

“Kumpulan pertama yang membabitkan 450 PATI akan dihantar pulang dengan tiga penerbangan ke Jakarta, Medan dan Surabaya hari ini dan akan diikuti pada 10 Jun ini dengan penghantaran pulang 445 lagi PATI, juga ke Jakarta, Medan dan Surabaya.

“Proses penghantaran pulang juga akan menggunakan jalan laut, di mana 1,294 PATI dijadualkan berlepas ke Medan pada 22 Jun ini,” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.