Kedai gunting rambut dibenarkan beroperasi semula 10 Jun

157

6 JUN: Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini memaklumkan mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) bersetuju untuk membenarkan operasi perniagaan kedai gunting rambut dan berkaitan bermula 10 Jun depan. 

Ismail Sabri berkata, MKN bersetuju dengan pembentangan yang dibawa oleh Kementerian Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna, namun ia perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat dan ditetapkan majlis berkenaan.

“Mesyuarat hari ini bersetuju untuk benarkan perkhidmatan gunting rambut, hair dresser dan berkaitan kecantikan bermula 10 Jun, dengan pelaksanaan SOP yang ketat. 

“Untuk makluman, sumbangan sektor bagi perniagaan gunting rambut ini menyumbang kepada KDNK sejumlah RM13.5 bilion,” katanya dalam sidang media harian, hari ini.

Beliau menambah, bagi golongan berisiko iaitu individu berusia 60 tahun ke atas, proses guntingan adalah diwajibkan secara temu janji dan tanpa kehadiran pengunjung dari kumpulan umur lain.

“Bagi kanak-kanak bawah 12 tahun, ibu bapa dibenarkan hadir bersama tetapi perlu mematuhi pemakaian alat pelindung diri seperti penutup muka dan apron pakai buang,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata SOP yang perlu dipatuhi termasuk pemakaian pelitup muka dan apron pakai buang oleh pekerja, pemakaian satu set gloves bagi setiap pelanggan dan jarak antara satu kerusi tukang gunting perlu sekurang-kurangnya dua meter.

Katanya, pengusaha juga perlu menyediakan apron pakai buang yang berbeza untuk setiap pelanggan dan tidak boleh menggunakan tuala yang dikongsi.

Dalam perkembangan berkaitan, Ismail Sabri turut mengesahkan bahawa kerajaan bersetuju membenarkan pembukaan semula pasar terbuka, pasar pagi, pasar malam dan bazaria di seluruh Wilayah Persekutuan bermula 15 Jun ini.

“Pembukaan semula pasar terbabit tertakluk kepada SOP ketat yang ditetapkan Kementerian Kesihatan, selain perlu sentiasa menjaga kebersihan persekitaran dan penjarakan sosial.

“SOP ini termasuk waktu pembukaan yang dihadkan bagi pasar pagi dan pasar terbuka bermula 6 pagi hingga 11 pagi; pasar malam (4 petang – 10 malam) dan bazaria (5 petang – 11 malam),” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.