Gencatan politik PN & PH tumpu pemulihan ekonomi

144

6 JUN: Pergerakan Pemuda UMNO menyarankan agar Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) mengumumkan gencatan politik seketika bagi memberi tumpuan sepenuhnya kepada agenda pemulihan ekonomi rakyat akibat penularan wabak COVID-19.

Ketuanya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, penggemblengan usaha ke arah itu harus menjadi keutamaan kedua-dua blok berkenaan ketika ini berbanding perkiraan untung rugi berpolitik jangka pendek dan perebutan kuasa pemerintahan berterusan yang hanya memudaratkan rakyat dan negara dalam tempoh jangka panjang.

Beliau berkata, tindakan itu perlu bagi menjayakan pelaksanaan insentif di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, semalam.

“Kita juga akan menggerakkan jentera parti di 191 Bahagian di seluruh negara untuk memantau pelaksanaan insentif Penjana ini.

“Hasil pemantauan ini, kita akan memberikan maklum balas dari semasa ke semasa kepada kerajaan untuk memastikan segala objektif pemulihan ekonomi negara mampu direalisasikan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi berkata, Pemuda UMNO juga menyambut baik pengumuman 40 inisiatif dan insentif di bawah Penjana yang bersifat menyeluruh dan mencakupi semua pihak termasuk pekerja, perusahaan kecil dan sederhana, belia dan rakyat di pelbagai peringkat.

Beliau berkata, pelancaran Penjana ini juga bukti kesungguhan dan komitmen kerajaan untuk memulihkan ekonomi negara dan mengembalikan kesejahteraan rakyat, biarpun pelbagai serangan dan tohmahan dilemparkan oleh pemimpin politik tertentu yang masih tergila-gilakan kuasa dan cuba menggugat kestabilan negara.

“Sememangnya, tempoh tiga hingga enam bulan akan datang adalah saat paling getir bagi rakyat untuk kembali menyesuaikan diri dalam kehidupan kian mencabar berikutan kegawatan ekonomi semasa pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik COVID-19. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.