Tak hadir mesyuarat Pakatan Plus, Anwar merajuk?

204

5 JUN: Ketiadaan wakil PKR dalam mesyuarat Pakatan Harapan (PH) dan Parti Warisan Sabah di Yayasan Albukhary, Kuala Lumpur petang semalam mencetuskan spekulasi.

Dalam gambar yang dikongsi pembantu Tun Dr Mahathir Mohamad, Adam Mukhriz Mohd Muhayeddin, tidak kelihatan susuk tubuh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Yang kelihatan dalam gambar tersebut ialah Dr Mahathir selaku pengerusi mesyuarat kumpulan yang digelar Pakatan Plus itu.

Pemimpin-pemimpin lain yang kelihatan dalam gambar ialah Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Datuk Marzuki Yahya serta Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu; Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke.

Ramai netizen yang melihat gambar itu mempersoalkan mengapa Anwar tidak hadir dalam mesyuarat tersebut.

Difahamkan, mesyuarat itu bertujuan membincangkan tentang komplot Pakatan Plus untuk merampas kuasa daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Dr Mahathir dan Anwar sebelum ini mendakwa kem mereka mempunyai jumlah Ahli Parlimen yang mencukupi untuk membentuk kerajaan.

Namun, dakwaan itu kini agak meragukan kerana Anwar sendiri tidak menghadiri mesyuarat Pakatan Plus.

Kalau Anwar tidak dapat hadir, mengapa tidak diwakilkan kepada salah seorang pemimpin kanan PKR?

Apakah Anwar sudah merajuk dengan tindak-tanduk Dr Mahathir terhadapnya selama ini?

Difahamkan, mesyuarat ‘Pakatan Minus PKR’ yang bermula pada pukul 4 petang itu berlangsung selama dua jam. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.