Salahuddin nafi lompat parti, sertai BERSATU

344

5 JUN: Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Datuk Seri Salahuddin Ayub, menafikan dakwaan kononnya beliau bersama dua lagi Ahli Parlimen PAN, melompat parti dengan menyertai BERSATU.

Berikutan itu bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkenaan menegaskan beliau tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang menyebarkan berita palsu terbabit.

“Ternyata pihak cytro Perikatan Nasional (PN) sangat tertekan dengan perkembangan terkini politik tanah air sehingga terdesak menyebarkan berita palsu tentang kononnya saya dan beberapa pimpinan AMANAH akan menyertai BERSATU dalam masa yang terdekat.

“Saya akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang bertanggungjawab mengeluarkan laporan palsu terbabit.

Laporan yang merupakan fitnah murahan itu tidak akan sedikitpun menjejaskan usaha dan komitmen Pakatan Harapan untuk mengembalikan mandat rakyat dan menyelamatkan negara dari bencana politik PN,” katanya dalam satu kenyataan.

Berikutan itu, Salahuddin berkata beliau berharap rakyat Malaysia dapat bersama PH mendukung dan meneruskan cita-cita membentuk Malaysia Baharu yang bebas rasuah dan penyelewengan serta menegakkan amalan politik yang telus, benar dan tidak berteraskan fitnah dan kepalsuan. 

Terdahulu, tular khabar angin mengatakan tiga Ahli Parlimen PAN akan menyertai BERSATU dalam masa terdekat, bagi mengukuhkan lagi kerajaan PN yang diterajui Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurut sebuah portal berita yang memetik sumber dalaman PAN, menyebut tiga ahli parlimen tersebut ialah Salahuddin, Hasanuddin Mohd Yunus (Ahli Parlimen Hulu Langat), dan Dr. Hasan Baharom (Ahli Parlimen Tampin). – Oleh Haika Khazi

Get real time updates directly on you device, subscribe now.