PN tidak terjejas akibat propaganda PH

330

5 JUN: Propaganda murahan yang disebarkan Pakatan Harapan (PH) tidak mampu menjejaskan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang diketuai Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurut Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof, kedudukan PN kini stabil berikutan gerak kerja yang teratur di bawah kepimpinan Muhyiddin terutamanya dalam menyelesaikan banyak hal termasuk isu kritikal seperti COVID-19.

Beliau berkata, ditambah pula penerimaan banyak pihak yang semakin positif terhadap gabungan itu, sekali gus menunjukkan PN sukar untuk ditumbangkan.

“Saya fikir PN sangat stabil, sebab itu saya gesa semua pihak memberikan sokongan apa juga yang sedang dibuat Perdana Menteri dalam menghadapi krisis COVID-19,” katanya ketika ditemui di Rumah Kelab PAUM, Persatuan Alumni Universiti Malaya di Kuala Lumpur, malam tadi.

Mohd Redzuan yang lebih mesra dengan panggilan Pak Wan merupakan antara Ahli MPT Bersatu yang menghadiri mesyuarat tergempar parti itu yang dipengerusikan oleh Muhyiddin selaku Presidennya bermula kira-kira jam 8.30 malam.

Dalam pada itu, Mohd. Redzuan menafikan dakwaan kononnya beliau mahu meletak jawatan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas).

“Siapa cakap (letak jawatan), tidak, terlalu banyak spekulasi, esok saya ada sidang media,” katanya ringkas.

Sementara itu, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, semua perkara yang dibincangkan dalam mesyuarat malam tadi akan dikongsi bersama petugas media hari ini.

“Lebih mudah kita buat sidang media, kerana banyak perkara boleh dijelaskan satu persatu,” katanya. – Oleh ASLINDA NASIR

Get real time updates directly on you device, subscribe now.