Penjara mandatori berkesan mengekang pemandu mabuk: KPN

112

5 JUN: Hukuman seperti penjara mandatori terhadap individu yang disabitkan dengan kesalahan memandu kenderaan di bawah pengaruh alkohol lebih berkesan mengekang gejala tersebut.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, hukuman sedemikian perlu dilaksanakan kerajaan kerana ia adalah lebih berkesan dan beliau menyokongnya.

Ktanya, masyarakat di negara ini  telah sedar bahawa isu pemandu mabuk ini sudah menjadi bermusim dan semakin serius.

“Oleh itu, saya akan menyokong apa sahaja tindakan undang-undang yang dibuat oleh Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Dalam Negeri (KDN),” katanya kepada pemberita selepas hadir majlis penyerahan kereta peronda baharu Polis Diraja Malaysia di Kompleks KDN di Putrajaya, hari ini.

Abdul Hamid berharap, kerajaan dapat meminda undang-undang sedia ada untuk mengenakan hukuman lebih berat terhadap individu yang disabit kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol.

Sebelum ini Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengarahkan Kementerian Pengangkutan untuk merangka pindaan ke atas Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) berikutan bilangan kes kemalangan jalan raya membabitkan pemandu mabuk yang dilihat semakin membimbangkan sejak kebelakangan ini.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Ir Wee Ka Siong pula baru-baru ini sudah mengarahkan pegawai di kementeriannya menyiapkan kertas cadangan Kabinet mengenai pindaan tersebut untuk kelulusan jemaah menteri bulan ini.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.