PAS tidak gila kuasa seperti PH

79

5 JUN : Meskipun telah banyak ‘amaran’ dikeluarkan supaya mana-mana pihak tidak mengheret negara ke kancah politik, namun ia tetap berlaku sehingga hari ini.

Ia dilihat apabila pembangkang cuba menyusun atur pelbagai strategi untuk menjatuhkan kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, kerana menganggap Perikatan Nasional (PN) telah merampas kuasa daripada mereka untuk menjadi pentadbir ketika ini.

Rancangan itu termasuklah daripada bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad sendiri.

Namun Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim berkata, PAS ‘tidak gila’ kuasa seperti PH yang sentiasa rakus untuk menjatuhkan kerajaan walau dengan cara apa sekalipun.

“Jika ikutkan hati, memang dari awal PAS lebih suka serah kembali mandat (negara) ini kepada rakyat.

“Ini kerana gangguan politik tak bagus untuk kelancaran pentadbiran dalam usaha memulihkan ekonomi negara, membantu rakyat, memerangi (wabak) COVID-19.

“Melaksanakan dasar-dasar yang perlukan ketegasan misalnya isu Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI), pemandu mabuk, kawalan penjualan arak, rasuah, sindiket kad pengenalan dan sebagainya,” katanya seperti dipetik dari laporan Harakah Daily.

Sebelum ini Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah mengenai politik tanah air mengingatkan semua pihak agar tidak mengheret negara ke kancah politik yang bermasalah.

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar dalam titah baginda turut memberikan peringatan keras agar tidak mengkucar-kacirkan pentadbiran Negeri Johor.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata mandat seharusnya diberi kepada rakyat semula sebaik sahaja negara mula reda dari penularan wabak COVID-19.

“Jika ada jaminan ianya sudah selamat untuk negara berdepan Pilihan Raya Umum (PRU) seluruh negara, COVID-19 sudah terkawal dan tidak akan kembali meningkat.

“Jika ada kepastian itu, kita sangat gembira serah kembali kepada rakyat untuk tentukan dan pilih kerajaan yang stabil dan boleh fokus berkhidmat kepada rakyat,” tegasnya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.