Langkah cukai aktifkan semula industri pelancongan

65

5 JUN: Beberapa langkah cukai akan dilaksanakan di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) bagi mengaktifkan semula industri pelancongan di negara ini yang terjejas teruk akibat COVID-19.

Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika membentangkan Penjana hari ini berkata, perniagaan di bawah industri pelancongan seperti agensi pelancongan, pengusaha hotel dan syarikat penerbangan yang telah diberikan penangguhan bayaran ansuran ke atas anggaran cukai yang kena dibayar bagi tempoh 1 April lalu hingga 30 September ini akan dilanjutkan tempoh penangguhan selama tiga bulan lagi mulai 1 Oktober hingga 31 Disember ini.

Perdana Menteri memberitahu, cukai pelancongan dikecualikan sepenuhnya bagi tempoh mulai 1 Julai ini hingga 30 Jun 2021.

“Pengecualian cukai perkhidmatan ke atas perkhidmatan penginapan yang disediakan oleh pengendali premis penginapan dilanjutkan mulai 1 September 2020 hingga 30 Jun 2021.

“Pelepasan cukai pendapatan individu sehingga RM1,000 yang telah diberikan ke atas perbelanjaan melancong dalam negara dilanjutkan sehingga 31 Disember 2021,” jelasnya.

Sementara itu, Muhyiddin menyatakan, bagi menggalakkan pertumbuhan industri automotif negara, kerajaan bersetuju memberi pengecualian cukai jualan sebanyak 100 peratus ke atas
penjualan kereta penumpang pemasangan tempatan dan 50 peratus bagi kereta penumpang yang diimport bagi tempoh mulai 15 Jun hingga 31 Disember ini. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.