Haniza tubuhkan NOW, terus berbakti kepada rakyat

36

5 JUN : Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ditubuhkan hari ini sebagai respon daripada pemecatan ahli PKR secara beramai-ramai.

Menurut kenyataan media yang dikeluarkan, Ketua Wanita PKR, Haniza Talha berkata, NGO tersebut iaitu Nation of Women (NOW) bertujuan meneruskan agenda untuk berbakti kepada rakyat khususnya bagi golongan wanita.

“Sepertimana yang semua tahu, status saya sebagai Ketua Wanita PKR telah pun digantung. walaupun saya masih ahli PKR, saya dan ramai lagi anggota PKR tidak dibenarkan untuk bergerak di atas nama parti PKR.

“Oleh itu, saya telah mengambil inisiatif ini untuk menubuhkan NGO NOW di mana wanita yang telah dipinggirkan dapat meneruskan gerak kerja di kawasan masing-masing tanpa menghadapi tekanan daripada pimpinan parti,” katanya.

Beliau yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah Jaya berkata pendekatan akan terus diambil untuk membantu rakyat meskipun mempunyai masalah dalaman membabitkan parti politik.

Berikutan itu, pihaknya berharap agar ke semua parti politik khususnya PKR tidak merasakan NOW sebagai ancaman, malah boleh bekerjasama seperti yang dilakukan bersama INVOKE di bawah kepimpinan Rafizi Ramli.

“Saya berharap pimpinan PKR atau mana-mana pihak tidak menggangap NGO NOW sebagai sesuatu ancaman, bahkan dapat bekerjasama dengan kami. Kalaulah PKR boleh bekerjasama dengan INVOKE pada masa dahulu.

“Tiada halangan untuk PKR berkerjasama dengan kami pada masa depan. Ingat, ini adalah NGO dan bukannya sesuatu perkara yang patut ditakutkan pada segelintir golongan yang berminda tertutup,” katanya lagi.

Setakat ini jelas Haniza lagi, NOW akan memfokuskan terhadap isu pemberdayaan wanita dimana kira-kira 30 peratus penglibatan golongan itu adalah berada di peringkat pembuat keputusan.

Selain itu, NOW juga akan melancarkan laman web untuk wanita-wanita lain mendaftar sebagai anggota dan mendapat maklum balas tentang peluang yang ada sesuai dengan bakat yang ada.

“NOW adalah ‘apolitical’ ataupun tanpa kecenderungan kepada mana-mana pihak politik. Jadi NOW adalah terbuka pada semua wanita dalam pelbagai lapisan masyarakat. Tidak kira anda dari parti PKR, Bersatu, DAP, PAS, UMNO, Amanah dan Warisan. – Oleh ASLINDA NASIR

Get real time updates directly on you device, subscribe now.