Draf SOP PRK Chini akan dimuktamad sebelum hari pencalonan

49

5 JUN: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah mengemukakan draf Prosedur Operasi Standad (SOP) kepada pihak terlibat dalam melaksanakan pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini 4 Julai ini.

Menurut Pengerusinya, Datuk Azhar Azizan Harun draf tersebut telah diberi kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Majlis Keselamatan Negara (MKN), Agensi Pengurusan Bencana dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Setakat ini draf tersebut telah pun kita kemukakan dengan meletakkan fokus bagi mengelakkan penularan wabak Covid-19, dan draf itu setakat ni telah dibincang sebanyak 3 kali dan sekarang berada di peringkat untuk memuktamadkan draf.

“Ia melingkupi ketujuh-tujuh proses dari hari pencalonan sehinggalah ke hari mengundi dan pengisyitharan keputsan,” katanya kepada PNBBC Portal.

Bagi proses pengundian, Azhar menjelaskan yang pihaknya akan membuka 66 saluran bagi memudahkan kesemua 21,000 orang keluar mengundi.

“Sebaik sahaja mereka menerima ‘voters card’ mereka perlu keluar mengundi mengikut masa yang digalakkan. Untuk 21,000 pengundi itu, mereka akan dipecahkan kepada 66 saluran, bermakna setiap saluran akan hanya membolehkan maksimum seramai 400 orang sahaja.

“Seperti biasa, kita akan sediakan kelengkapan seperti penutup muka, sanitizer, dan bagi mereka yang mempunyai suhu tinggi, mereka akan dibawa ke khemas khas untuk membuat pengundian tersebut,” jelasnya lagi.

Bagi pembahagian masa pula, jelas Azhar proses pengundian akan bermula jam 8 pagi sehingga 5.30 petang, tetapi pihaknya akan meminta semua pengundi keluar pada masa yang berbeza iaitu bermula 8 pagi sehingga 10 pagi, 10 pagi sehingga 12 tengahari, 12 tengahari sehingga 2 petang dan 2 petang sehingga 4 petang.

Bagi tempoh berkempen pula, jelas Azhar sebarang aktiviti yang melibatkan orang ramai perlu berkumpul dilarang sama sekali, termasuklah lawatan dari rumah ke rumah dan sebagainya. 

Sebaliknya cara yang dibenarkan adalah ceramah kempen secara online, kempen atas talian dan pemasangan banner sahaja dibenarkan. 

Mengulas lanjut, Azhar turut berkata draf tersebut akan dimuktamadkan menjelang hari pencalonan dan segala prosedur operasi standard (SOP) adalah mengikut syarat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang ditetapkan kerajaan. – Oleh ASLINDA NASIR

Get real time updates directly on you device, subscribe now.