Dana RM35 bilion, Penjana rangsang ekonomi negara

61

5 JUN: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan 40 inisiatif bernilai RM35 bilion di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) yang bertujuan memperkasakan rakyat, melonjakkan perniagaan dan merangsang ekonomi yang terjejas akibat COVID-19.

Ketika membentankang Penjana, beliau berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM10 bilion merupakan suntikan fiskal langsung daripada kerajaan.

Bagi menangani cabaran kadar pengangguran yang meningkat dan memastikan pengekalan pekerjaan, Muhyiddin memberitahu, kerajaan akan memperuntukkan hampir RM9 bilion yang bakal memanfaatkan seramai tiga juta tenaga pekerja melalui beberapa inisiatif.

Antara inisiatif tersebut adalah Perluasan Program Subsidi Upah bernilai RM5 bilion, Program Insentif Pengambilan Pekerja (RM1.5 bilion) serta program peningkatan kemahiran untuk penganggur dan belia (RM2 bilion).

Selain itu, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM75 juta bagi menyokong pertumbuhan ekonomi gig dan kebajikan pekerja dalam sektor tersebut merangkumi geran padanan RM50 juta untuk mencarum pekerja di bawah Skim Bencana Pekerjaan Perkeso dan Skim i-Saraan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Selain itu, peruntukan sebanyak RM25 juta kepada MDEC bagi program Global Online Workforce (GLOW) yang bertujuan untuk membimbing rakyat Malaysia menjana pendapatan dalam talian melalui pelanggan antarabangsa.

Bagi menyelaras dan memantau pelaksanaan kesemua inisiatif di atas, kerajaan akan menubuhkan sebuah Jawatankuasa Khas Pekerjaan Nasional,” jelasnya.

Perdana Menteri turut mengumumkan pengecualian cukai pendapatan sehingga RM5,000 kepada pekerja yang menerima manfaat dalam bentuk telefon bimbit, komputer riba atau tablet daripada majikan.

Bagi meningkatkan keyakinan ibu bapa untuk menghantar semula anak-anak mereka ke taska, Muhyiddin berkata, kerajaan akan memberikan geran kepada pengendali taska untuk
mematuhi dan melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Selain itu, e-Baucar akan disediakan untuk perkhidmatan pengasuh kanak-kanak yang ditempah dalam talian dan juga insentif cukai pendapatan individu untuk yuran yang dibayar kepada taman asuhan dan taman didikan kanak-kanak sehingga RM3,000.

“Langkah ini akan dikawal selia oleh Kementerian Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN),” ujarnya.

Beliau menambah, bagi meringankan beban kos pengangkutan, kerajaan akan memperkenalkan Program MY30 di mana pengguna hanya perlu membayar RM30 sahaja sebulan untuk
menikmati pas perjalanan tanpa had bagi pengangkutan awam di bawah seliaan Prasarana di Lembah Klang.

Inisiatif itu terbuka kepada semua warganegara dan akan berkuat kuasa mulai 15 Jun hingga penghujung 2020.

Sementara itu, lebih 300,000 orang kurang upaya dan ibu tunggal yang tersenarai di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) layak menerima bantuan one-off sebanyak RM300 yang akan disalurkan sebelum Hari Raya Aidiladha bagi mengurangkan beban mereka.

Jelas Muhyiddin, kerajaan juga akan memperuntukkan geran kepada pertubuhan bukan kerajaan yang berkaitan.

“Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengumumkan inisiatif ‘GLC Penjana Komuniti’. Tujuan program ini adalah untuk menggalakkan GLC (syarikat berkaitan kerajaan) mengangkat sesebuah komuniti dan menjalankan usaha bagi membangunkan keupayaan sosioekonomi komuniti tersebut,” katanya.

Selain itu, kemudahan skim PEKA B40 akan diperkasakan dengan penambahan peruntukan sebanyak RM50 juta bagi membiayai saringan kesihatan dan kemudahan peralatan perubatan. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.