1 GB internet percuma untuk rakyat

40

5 JUN: Kerajaan dengan kerjasama syarikat telekomunikasi akan menyediakan perkhidmatan internet dengan kapasiti 1 gigabait secara percuma untuk semua pengguna dari pukul 8 pagi hingga 6 petang setiap hari untuk melayari laman sesawang berkaitan pendidikan dan aplikasi persidangan video.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, dengan norma baharu, adalah penting untuk memastikan kelangsungan kehidupan harian terutamanya dalam aspek pekerjaan dan pendidikan anak-anak.

“Perkhidmatan internet percuma ini akan disediakan sehingga 31 Disember 2020. Selain itu, semua pengguna akan dapat mengakses secara percuma tanpa had laman sesawang kerajaan serta aplikasi COVID-19 kerajaan, khususnya mySejahtera,” jelas beliau ketika membentangkan Pelan Jana Semula Ekonomi (Penjana) hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, kerajaan akan membantu setiap perniagaan, sama ada besar atau kecil, menerusi beberapa langkah.

Dalam usaha mendorong perusahaan mikro dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) beralih kepada khidmat digital atau dalam talian, kerajaan bersama sektor swasta akan membiayai usaha tersebut melalui geran padanan sebanyak RM140 juta.

Muhyiddin menyatakan, peruntukan itu akan digunakan untuk sesi latihan, subsidi penjual dan bantuan penjualan manakala inisiatif itu akan diterajui oleh Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) bersama platform e-dagang yang terpilih.

“Kerajaan dengan kerjasama syarikat swasta akan menjalankan kempen ‘Shop Malaysia Online’ bagi menggalakkan rakyat berbelanja secara dalam talian, di mana kod promosi dan pelbagai baucar diskaun akan diberi melalui platform e-dagang.

“Sebagai permulaan, kerajaan akan memperuntukkan sebanyak RM70 juta yang akan dipadankan dengan jumlah yang sama oleh platform e-dagang,” ujarnya.

Seterusnya, beliau menambah, bagi PKS dan syarikat di peringkat pertengahan kerajaan akan meneruskan pemberian geran dan pinjaman berjumlah RM700 juta untuk membolehkan lebih banyak syarikat melanggan atau menggunakan perkhidmatan digitalisasi.

Insentif itu termasuk RM100 juta Geran Padanan Digital PKS yang akan disediakan dengan kerjasama syarikat telekomunikasi, RM500 juta di bawah Dana Transformasi Teknologi PKS sebagai pinjaman mudah dan RM100 juta Geran Automasi Pintar, di mana setiap syarikat yang layak akan menerima geran sehingga RM1 juta.

PKS turut menerima manfaat melalui dana tambahan RM2 bilion melalui Skim Pembiayaan PKS Penjana, Skim Pembiayaan Pelancongan Penjana (RM1 bilion), Pembiayaan Mikro Penjana (RM400 juta), pembiayaan Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (RM200) juta dan Majlis Amanah Rakyat atau MARA (RM300 juta).

Kerajaan juga akan memberikan insentif cukai dalam pelbagai bentuk termasuklah potongan cukai berkait dengan perbelanjaan untuk operasi dalam kebiasaan baharu seperti pembelian PPE dan kos ujian saringan. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.