Terhenti ahli Bersatu, mana mungkin Tun M hadir mesyuarat

296

4 JUN: Sudah terhenti sebagai ahli parti Bersatu, mana mungkin dijemput hadir mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti itu, malam ini.

Itu jawapan logik dan munasabah kepada bekas pengerusi parti itu, Tun Dr Mahathir Mohamad  atau penyokong setia beliau jika mempersoalkan kenapa beliau tidak dijemput hadir mesyuarat tersebut.

Jawapan sama juga kepada Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang juga terhenti keahlian sebagai ahli Bersatu bersama Tun Mahathir dan tiga ahli parlimen lain pada 28 Mei lalu.

Mukhriz sebelum ini adalah Timbalan Presiden Bersatu.  

MPT Bersatu dijangka mengadakan mesyuarat pada malam ini berdasarkan satu edaran panggilan mesyuarat oleh Setiausaha Kerja Bersatu, Kapt (B) Muhammad Suhaimi Yahya kini berlegar di media sosial.

Turut disenaraikan jemputan ke mesyuarat tersebut adalah Tan Sri Muhyiddin Yassin dirujuk sebagai Presiden dan Pemangku Pengerusi.

Turut dijemput naib-naib presiden, ketua srikandi, setiausaha agung, bendahari agung, ketua penerangan dan ahli-ahli MPT.

Susulan itu, ada yang menjangkakan Tun Mahathir akan turut hadir atau ‘terjah’ mesyuarat MPT sama seperti beliau tiba-tiba hadir ke pejabat Bersatu minggu lalu.

Sementara itu, Datuk Marzuki Yahya yang sebelum ini dilucutkan jawatan sebagai setiausaha agung PPBM kini turut diberhentikan tugas sebagai ketua parti itu di Pulau Pinang.

Muhyiddin dalam sepucuk surat kepada Marzuki bertarikh 2 Jun berkata, tugasnya diberhentikan berkuat kuasa serta merta.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.