Taska persendirian diminta daftar KPWKM, patuhi SOP

133

4 JUN: Kerajaan akui bimbang dengan taman asuhan kanak-kanak persendirian yang tidak berdaftar di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat (KPWKM) berikutan sukar untuk awasi mereka sama ada mengikut tatacara operasi standard (SOP) yang dikeluarkan atau tidak.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata susulan itu, beliau menyeru taska persendirian  berdaftar di bawah KPWKM dan mengikut SOP yang ditetapkan kerajaan.

“Ada taska persendirian tidak didaftarkan dan mungkin dalam satu taman jaga 3 hingga 4 anak.

“Penjaga tak dapat latihan. Kalau ada perkara yang tidak baik berlaku itu diluar tanggungjawab pihak kementerian,” katanya pada sidang media hariannya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai bagaimana operasi taska persendirian yang tidak berdaftar.

Selasa lalu, Ismail berkata semua 7,000 taman asuhan kanak-kanak yang berdaftar dengan kerajaan dibenarkan beroperasi selepas mesyuarat khas menteri meluluskan tatacara operasi standard yang diperkemaskan berhubung operasi taska hari ini.

Pengusaha diminta merujuk laman web Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk maklumat lanjut.

Sebelum ini, hanya 304 taska dibenarkan beroperasi berpandukan SOP kerajaan semasa perintah kawalan pergerakan berkuatkuasa.

Dalam pada itu, Ismail berkata jika taska persendirian berdaftar di bawah KPWKM, penjaga boleh mendapat latihan kendali anak-anak dengan betul dan apa-apa kes di bawah kementerian itu.

Katanya, jika ada bantuan atau dana kerjaaan, taska persendirian boleh mohon.

“Jika tak daftar maka agak sukar awasi mereka dari segi SOP dikeluarkan

“Kita seru taska persendirian muatnaik SOP di laman KPWKM,” katanya

Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri berkata ibu bapa yang bekerja lebih 8 jam dan menghantar anak ke taska tidak dilihat menjadi masalah.

Katanya, SOP yang dikenakan kepada taska yang dibenarkan operasi sangat ketat.

“Isu ibu bapa perlu tinggalkan anak selepas kerja lebih 8 jam tidak jadi kesalahan selagi SOP dipatuhi,” katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata sekolah separa kerjaaan juga tidak dibenarkan mengutip yuran dengan pelajar berikutan sekolah masih tidak dibenarkan operasi.

Katanya, perkara itu tidak sepatutnya berlaku kerana tidak ada perkhimatan dijalankan semasa sekolah ditutup.

“Tidak mengajar dan kos perasi sekolah kosong. Minta ibu bapa bayar yuran anak yang tidak ke sekolah walaupun separuh yuran tidak patut berlaku.

“Selagi sekolah tidak dibuka, kita harap pihak sekolah tidak mengutip yuran,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.