Penyelewengan kuasa punca PH mahu kembali jadi kerajaan?

53

4 JUN: Komplot yang dilancarkan Pakatan Harapan (PH) untuk menumbangkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) didakwa ada kaitan dengan penyelewengan kuasa yang dilakukan beberapa pemimpin mereka sewaktu berkuasa selama 22 bulan dahulu.

Penganalisis politik, Raja Petra Kamarudin mendakwa, penyalahgunaan kuasa itu melibatkan penerimaan rasuah terutamanya daripada ahli-ahli perniagaan untuk mendapatkan kontrak dan projek.

Malangnya, mereka tidak menjangka kerajaan PH boleh tersungkur secara tiba-tiba.

“Sekarang ini, ahli perniagaan dan towkay-towkay meminta duit mereka itu dipulangkan kerana kontrak dan projek mereka sudah tersekat.

“Sebab itulah PH cuba memberikan gambaran yang mereka akan kembali berkuasa dalam masa terdekat.

“Ini supaya mereka tidak perlu pulangkan balik duit yang telah mereka terima dari towkay-towkay dan ahli perniagaan,” katanya dalam kenyataan melalui portal Malaysia Today.

Dalam rakaman video yang dimuat naik ke dalam portal tersebut, Raja Petra mendakwa, pemimpin-pemimpin PH terbabit kini berdepan masalah kerana mereka tidak mampu mengembalikan wang yang diterima daripada ahli-ahli perniagaan berkenaan.

Beliau memberitahu, penyelewengan yang dilakukan melibatkan jumlah wang yang besar, sehingga mencecah jutaan ringgit.

Tambah Raja Petra, faktor itu mendorong PH mendakwa kononnya mereka beroleh jumlah Ahli Parlimen yang mencukupi untuk membentuk kerajaan.

Pada masa yang sama, Raja Petra mendakwa, pemimpin-pemimpin PH terbabit turut berjanji mereka akan menunaikan segala janji kepada ahli-ahli perniagaan berkenaan selepas kerajaan PN ditumbangkan. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.