Pemuda UMNO Pahang sokong jika Nizar jadi calon

599

4 JUN: Pergerakan Pemuda UMNO Pahang ‘merestui’ sekiranya anak bekas Perdana Menteri, Datuk Mohd Nizar Najib menjadi calon Barisan Nasional (BN) untuk mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini, pada Pilihan Raya Kecil (PRK) nanti.

Ketuanya, Mohd Farid Mohd Nor berkata, seperti amalan biasa, beliau sendiri yang mencadangkan kepada Pengerusi Perhubungan UMNO merangkap Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, supaya Mohd Nizar yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pekan diangkat sebagai calon BN.

Bagaimanapun, beliau berkata, Pemuda UMNO Pahang tetap akur jika Wan Rosdy memilih individu lain sebagai calon.

“Pemuda UMNO Pahang sudah menyuarakan kehendak akar umbi supaya Mohd Nizar dipertimbangkan sebagai calon BN pada PRK DUN Chini.

“Namun, pada masa yang sama, kita tetap akan sokong sesiapa sahaja dipilih pucuk pimpinan parti,” katanya ketika dihubungi PN BBC Portal hari ini.

Setakat ini, belum ada pengumuman daripada Wan Rosdy tentang nama-nama yang dipertimbangkan untuk menjadi calon BN.

Bagaimanapun, seorang sumber yang rapat dengan Pejabat Menteri Besar Pahang berkata, Wan Rosdy enggan mendedahkan nama calon BN untuk PRK DUN Chini sebelum tiba masanya. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.