Najib mangsa penipuan dalam kes SRC International

79

4 JUN: Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah hari ini memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya Datuk Seri Najib Razak adalah mangsa penipuan.

Beliau berkata, bekas Perdana Menteri itu ialah mangsa penipuan beberapa individu termasuk ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau lebih dikenali dengan nama Jho Low, bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SRC International Sdn Bhd, Nik Faisal Ariff Kamil dan beberapa pegawai bank yang tidak jujur.

Muhammad Shafee juga berhujah kes berprofil tinggi dihadapi anak guamnya menimbulkan persoalan utama bagaimana Najib tidak menyedari keadaan sejumlah besar wang dimasukkan ke dalam akaun peribadinya.

Jelas beliau, kedudukan Najib yang memegang jawatan utama menjadikannya amat sukar bagi pihak peguam bela menyediakan pembelaan dalam kes terbabit.

“Amat mudah bagi siapa pun, bahkan mungkin termasuk mahkamah, untuk diperkuatkan dengan kepercayaan bahawa keadaan di persekitaran Najib akan menafikannya pembelaan. Yang sebaliknya berlaku jika beliau seorang individu biasa,” katanya.

Tambah Muhammad Shafee, pihak pendakwaan mengemukakan kesnya dalam konteks bahawa individu yang memegang kuasa tidak boleh tidak menyedari apa yang berlaku terhadap akaun peribadinya.

Sehubungan itu, beliau memohon mahkamah untuk ‘membuka minda’ dalam mempertimbangkan bukti dan keterangan pihak pembelaan.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.