Shahruddin perlu bincang dengan pucuk pimpinan Bersatu

92

3 JUN: Ahli Majlis Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Dr Shahruddin Md Salleh seharusnya berbincang dengan pucuk pimpinan parti sebelum membuat keputusan berhubung pendirian politiknya.

Memetik laporan Sinar Harian, saranan itu dibuat oleh Ketua Angkatan Anak Muda Bersatu (Bersatu) Sri Gading, Muhammad Zulfadhly Zulkifly.

Beliau berkata, langkah itu perlu diambil berikutan timbul ura-ura Shahruddin yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya mahu meninggalkan Perikatan Nasional (PN) dan kembali kepada Pakatan Harapan (PH).

Muhammad Zulfadhly menambah, Ahli Parlimen Sri Gading tersebut perlu memutuskan sama ada beliau mahu bertanding semula mempertahan kerusi Parlimen Sri Gading atas tiket PN atau PH pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

“Adalah lebih baik Datuk Dr Shahruddin kembali kepada Bahagian Bersatu Sri Gading untuk duduk berbincang dengan Ketua Bersatu Bahagian Sri Gading, Rohaizad Rosli termasuk pihak Armada dan Srikandi bagi mendapatkan pandangan serta keputusan majoriti di peringkat bahagian.

“Keputusan ini penting untuk menentukan ke arah mana Parlimen Sri Gading selepas ini,” katanya.

Semalam, Shahruddin dalam kenyataannya menyuarakan beliau bersedia meninggalkan rakan-rakan dalam PN dan kembali kepada PH jika langkah itu akan membuatkan partinya terus ‘hidup’.

Muhammad Zulfadhly menegaskan, pendirian Bersatu Bahagian Sri Gading adalah jelas sebelum ini iaitu menyokong penuh kepimpinan Presiden Bersatu merangkap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tanpa berbelah bahagi.

Malah katanya, Shahruddin sendiri menyatakan sokongan kepada Muhyiddin semasa mula dilantik sebagai Perdana Menteri dan beliau turut meminta Bersatu Bahagian Sri Gading berbuat demikian.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.