Pergeseran Muhyiddin-Mahathir tidak jejas PN

53

3 JUN: Pergeseran antara Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan pengasas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tun Dr Mahathir Mohamad tidak menjejaskan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Memetik laporan Malaysiakini, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, isu itu tidak menjejaskan kedudukan Muhyiddin dalam kerajaan.

“Tak ada masalah selagi Muhyiddin terus mendapat sokongan ahli Parlimen.

“Saya tak fikir Muhyiddin akan berdiam diri. Beliau akan melakukan sesuatu untuk pertahankan (diri), beliau Perdana Menteri dan ada banyak keupayaan untuk (mendapat) sokongan,” katanya.

Perselisihan antara Muhyiddin dan Dr Mahathir masih belum berkesudahan sejak Presiden Bersatu itu membawa partinya keluar dari Pakatan Harapan.

Pada 28 Mei lalu, Dr Mahathir serta Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Datuk Amiruddin Hamzah dan Dr Maszlee Malik diberi surat yang menyatakan keahlian mereka dalam Bersatu telah digugurkan.

Tindakan itu diambil atas sebab mereka duduk di blok pembangkang semasa persidangan Dewan Rakyat pada 18 Mei lalu.

Walau bagaimanapun, kelima-lima mereka enggan menerima keputusan tersebut malah mendakwa, Muhyiddin dan enam Ahli Parlimen yang lain dari Bersatu telah melanggar etika parti.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.