Pakej ekonomi khas bantu golongan miskin bandar

52

3 JUN: Kementerian Wilayah Persekutuan akan mengumumkan beberapa pakej ekonomi khas bagi mengurangkan beban dan masalah dihadapi golongan miskin bandar di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Menterinya, Tan Sri Annuar Musa berkata, pihaknya sedang menyiapkan kertas kerja bagi meningkatkan jaringan keselamatan sosial untuk mengurangkan impak kemiskinan bandar.

“Kita akan mengumumkan antara enam hingga tujuh program yang disasarkan untuk mengurangkan impak kemiskinan bandar kepada penduduk yang tinggal di 178 projek perumahan rakyat (PPR), rumah kos rendah dan sebagainya.

“Program ini diharap dapat menjimatkan perbelanjaan harian dan kos sara hidup golongan miskin bandar terutama di Kuala Lumpur, tidak terkecuali di Putrajaya dan Labuan.

“Saya akan buat pengumuman rasmi sedikit masa lagi kerana beberapa idea dilontarkan perlu dilakukan penambahbaikan termasuk bagaimana penduduk di kawasan terbabit membeli barangan keperluan harian dengan lebih murah, selain kadar tambang bas sekolah lebih rendah,” katanya dalam sidang media yang disiarkan secara langsung melalui Facebook hari ini.

Dalam pada itu, Annuar turut mengesahkan kementeriannya kini sedang menyiapkan prosedur operasi standard (SOP) khas bagi membolehkan penjaja dan peniaga pasar harian kembali berniaga seperti biasa.

Ahli Parlimen Ketereh itu juga akan membentangkan draf SOP terbabit dalam mesyuarat penyelarasan COVID-19 bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan (KKM) dan beberapa agensi lain, hujung minggu ini.

Beliau berkata, tindakan itu perlu selepas kementerian banyak menerima maklum balas daripada peniaga pasar terbuka di Jinjang dan Kepong yang mengalami kesukaran dan kesempitan hidup kerana tidak dapat berniaga, berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac lalu.

“Sebagai menteri bertanggungjawab saya sudah arahkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) supaya menyiapkan satu SOP lengkap untuk dibentangkan dalam mesyuarat MKN pada Sabtu nanti.

“Kita memang mahu membenarkan mereka kembali berniaga namun bukan dengan cara lama, sebaliknya ia perlu mematuhi garis panduan tertentu terutama dari segi aspek kebersihan, penjarakan sosial dan lebih tersusun dalam masa dua minggu akan datang,” katanya.

Selain itu, Annuar berkata, DBKL juga sudah menaiktaraf pelbagai kemudahan di kawasan pasar di Kuala Lumpur supaya ia berwajah baharu, lebih tersusun dan sentiasa dalam keadaan bersih selain menempatkan lima hingga 10 pegawai penguat kuasa bagi memantau keadaan di situ. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.