‘Nakal juga tajuk Malaysiakini’ – Najib

23

3 JUN: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan tajuk berita Malaysiakini tentang liputan perbicaraan kes SRC di mahkamah semalam sebagai sesuatu yang ‘nakal’.

Pada pandangan beliau, laporan dalam mahkamah tak perlu disensasikan demi kepuasan atau agenda sendiri kerana ia juga menghina mahkamah.

Ahli Parlimen Pekan itu berkata, tajuk berita yang digunakan Malaysiakini itu memberi gambaran bahawa beliau dan peguam bela menggunakan alasan bahawa orang yang tidak diketahui mencuri wang SRC walhal bukti-bukti sudah dikemukakan dalam mahkamah.

“Yang sebenarnya berlaku di mahkamah semalam ialah peguam bela saya tunjukkan bahawa pihak pendakwa raya telah gagal kemuka bukti sepanjang perbicaraan,” katanya dalam laman Facebook miliknya hari ini.

Najib memberitahu, peguam belanya memberi kesimpulan bahawa berdasarkan bukti dan hujah yang diberi dan dikemukakan oleh pihak pendakwa raya, kes ini seolah-olah ada orang yang tidak diketahui mencuri wang SRC.

Namun, jelas Najib, tajuk Malaysiakini seolah-olah memberi gambaran kononnya beliau memberi alasan yang mengarut dan bertujuan mencetuskan kebencian pembaca mereka terhadap dirinya.

“Hanya Malaysiakini yang nakal sebegini. Laporan-laporan berita portal lain semalam mengenai kes saya tak buat begitu,” ujarnya. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.