Cukup-cukuplah Tun M, usah ganggu Muhyiddin lagi

637

3 JUN: Tindakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang sanggup bersekongkol dengan sekutu-sekutunya termasuk DAP dalam Pakatan Harapan (PH) untuk menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) telah menimbulkan kegusaran dalam kalangan banyak pihak.

Malah, pemimpin-pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang sebelum ini menyanjungnya kini mula hilang perasaan hormat terhadap Dr. Mahathir yang berterusan berkomplot untuk menyingkirkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ahli Parlimen Sabak Bernam, Datuk Faseah Fakeh berkata, sokongan seharusnya diberikan sepenuhnya kepada Muhyiddin sebagai pemimpin negara dan Dr. Mahathir sepatutnya perlu menerima perkara itu dalam keadaan baik tanpa sebarang provokasi.

“Patutnya masa beliau jadi Perdana Menteri kita beri sokongan, ketika beliau jadi Presiden UMNO pun kita bagi sokongan, tapi dengan harapan bila orang lain sudah jadi Perdana Menteri, anak didik beliau juga Tan Sri Muhyiddin tu. Jadi saya rasa beliau kena bagi peluang juga.

“Kalau Tun pilih PH itu pilihan beliau, jangan kacau parti yang ditubuhkan sekarang. Sebab pengasasnya beliau. Jadi kita hormati kepimpinan beliau. Bila orang lain dah jadi Perdana Menteri, jangan ganggu lagi,” katanya kepada PNBBC Portal.

Kenyataan Faseah itu selaras dengan apa yang dijelaskan pakar undang-undang dan perlembagaan, Tan Sri Dr. Rais Yatim sebelum ini bahawa sokongan harus diberikan kepada Muhyiddin dalam menangani isu kritikal kini.

Dr Mahathir juga seharusnya menyedari bahawa tindak-tanduk DAP yang keterlaluan dalam kerajaan terdahulu di bawah PH telah menyebabkan keresahan dalam kalangan rakyat.

Pada masa yang sama, Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Azizah Dun berkata, Bersatu tidak akan berpecah seperti yang didakwa Dr Mahathir kerana gerakan dalaman parti itu semakin utuh khususnya dari segi memberi sokongan yang tidak berbelah bahagi terhadap Muhyiddin.

“Saya ni kadang kala kasihan dengan Tun Mahathir, beliau bukan orang biasa, cukup luas pengalamannya dalam mentadbir negara. Tetapi yang membingungkan apabila beliau boleh bekerjasama dengan pembangkang untuk jatuhkan kerajaan Tan Sri Muhyiddin.

“Tapi saya lihat bila pertemuan antara pimpinan PH diadakan, tiada pula Tun Mahathir. Yang Tun Mahathir pula buat sidang media selepas pembukaan Parlimen baru-baru ini, Anwar pula tiada.

“Jadi mahu katakan Bersatu yang berpecah? Bukan. Itu tidak betul kerana yang sebetulnya, Tun Mahathir tidak nampak jalan bagaimana nak menjatuhkan kerajaan di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin sebab banyak pihak serta rakyat menerima kepimpinannya dengan sangat baik, ” ujarnya lagi.

Sebelum ini, Tun Mahathir berkata, parti yang ditubuhnya pada 7 September 2016 akan hancur tidak lama lagi.

Dalam satu entri di blognya, bekas Perdana Menteri itu yang masih menggelar dirinya Pengerusi Bersatu beralasan kehancuran itu berpunca daripada kerjasama parti itu dengan UMNO. – Oleh ASLINDA NASIR

Get real time updates directly on you device, subscribe now.