Adham teruskan saman fitnah terhadap C4 Center

346

3 JUN: Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba akan meneruskan saman terhadap Pusat Untuk Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4 Center) kerana enggan memohon maaf berikutan fitnah mengaitkannya dengan kontrak pembekalan peralatan COVID-19 di bawah kementeriannya.

Peguamnya, Nasser Yusof berkata, pihaknya iaitu firma guaman The Law Chambers of Fauzi & Nasser sedang menyiapkan draf saman tersebut dan akan mengemukakannya kepada pihak berkenaan.

“Saya sedang draf. Beliau (Dr Adham) ingin meneruskan saman tersebut bagi membersihkan namanya dari segala fitnah,” katanya kepada PNBBC Portal hari ini.

Baru-baru ini, C4 Center mengeluarkan kenyataan mendakwa kononnya Dr Adham mempunyai kaitan dengan syarikat Khazanah Jaya Sdn Bhd (KJSB) yang memperoleh kontrak secara perolehan darurat bagi pelaksanaan Lab Mitigaton Solution For COVID-19.

Perkara itu kemudiannya dinafikan oleh Pejabat Menteri Kesihatan yang menyifatkan tuduhan yang dibuat oleh pertubuhan bukan kerajaan itu sebagai berniat jahat dan cuba melakukan pembunuhan karakter.

Malah, Dr Adham turut memberitahu bahawa beliau tidak pernah mempunyai sebarang kepentingan perniagaan dalam KJSB atau pemegang saham syarikat terbabit.

Susulan daripada kes tersebut, Menteri Kesihatan itu telah memberi masa tujuh hari bermula 12 Mei untuk C4 Center membayar RM30 juta dan membuat permohonan maaf secara terbuka.

Namun C4 Center gagal berbuat demikian, malah dalam kenyataannya sebelum ini menjelaskan bahawa pihaknya tidak akan memohon maaf seperti yang dituntut menteri itu. – Oleh ASLINDA NASIR

Get real time updates directly on you device, subscribe now.