7 ribu penduduk di Bukit Changgang di bawah PKP Pentadbiran

294

3 JUN: Lebih 7,000 penduduk tempatan dan warga asing yang tinggal di sekitar Taman Langat Murni dan Taman Langat Utama, Bukit Changgang di Kuala Langat, Selangor, kini diletakkan di bawah perintah kawalan pentadbiran, mulai malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Azizan Tukiman, berkata pihak berkuasa terpaksa melaksanakan perintah itu selepas 20 warga asing yang bekerja dengan sebuah syarikat pembersihan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan tinggal di taman berkenaan disahkan positif COVID-19, pada 28 Mei lalu.

Sebelum itu, syarikat berkenaan sudah mendapatkan kebenaran Kementerian Perdagangan Antarabangsa Dan Industri (MITI) untuk kembali beroperasi dengan syarat semua pekerja mereka wajid menjalani ujian saringan Covid-19.

Berikutan itu, syarikat terbabit mengarahkan lebih 100 pekerja yang kebanyakannya  warga asing untuk menjalani ujian saringan Covid-19 di sebuah klinik swasta di KLIA, 22 Mei lalu.

“Bagaimanapun, hasil ujian saringan pada 28 Mei lalu, mendapati 24 orang daripadanya positif jangkitan wabak itu termasuk 20 daripada mereka tinggal di Taman Langat Murni dan Taman Langat Utama di Banting, manakala empat lagi tinggal di Nilai, Negeri Sembilan.

“Berikutan itu pihak berkuasa sudah menghantar 20 daripada pekerja asing yang disahkan positif COVID-19 ke Hospital Sungai Buluh untuk mendapatkan rawatan lanjut, manakala mereka yang negatif dan belum memperoleh keputusan ujian saringan diarahkan supaya melakukan kuarantin secara sukarela di rumah masing-masing,” katanya ketika dihubungi PNBBC, sebentar tadi.

Mengulas lanjut, Azizan berkata pihak polis bersama Pejabat Kesihatan Daerah juga sudah berjaya mengesan seramai 114  kontak rapat dengan 20 pesakit Covid-19 berkenaan, pada 29 Mei lalu.

Beliau berkata kesemua mereka kini dikuarantin di dua lokasi berbeza iaitu 52 orang di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) dan 62 orang di Institut Latihan Kehakiman dan Perundangan (ILKAP), Bangi.

“Kita juga mencadangkan kepada kerajaan supaya melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dilaksanakan bagi mengurangkan risiko kadar penularan jangkitan COVID-19 kerana jumlah penduduk di taman ini ramai dianggarkan melebihi 7,000 orang termasuk 80 peratus rakyat tempatan dan selebihnya 20 peratus lagi warga asing.
 
“Ketika ini, dua taman berkenaan diletakkan di bawah perintah kawalan pentadbiran di mana semua penduduk tidak dibenarkan keluar masuk melebihi  kawasan berpagar dan orang luar memang tidak dibenarkan masuk langsung kecuali dengan kebenaran pihak berkuasa.

“Dengan kata lain semua penduduk masih bebas bergerak di kawasan terbabit kecuali mereka yang sudah menjalani ujian saringan tetapi keputusannya belum diperolehi lagi,” katanya.

Difahamkan, pengumuman rasmi dan maklumat lanjut sama ada PKPD akan dilaksanakan dua taman di Bukit Changgang berkenaan hanya dibuat oleh Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, pada sidang media rasminya, petang ini.

Dalam perkembangan terkini, Azizan mengesahkan lebih 3,000 daripada kira-kira 9,000 penduduk tempatan dan warga asing di Taman Langat Murni dan Taman Langat Utama telah menjalani ujian saringan COVID-19, hari ini.

Beliau memberitahu, baki kira-kira 6,000 orang lagi penduduk bakal menjalani ujian saringan COVID-19 dalam masa terdekat dan dijangka selesai sepenuhnya Jumaat ini.

Azizan juga mengesahkan kira-kira 600 anggota pasukan keselamatan barisan hadapan ditugaskan bagi memastikan tiada warga asing melarikan diri daripada menjalani ujian saringan COVID-19.

“Kita juga membenarkan penduduk tempatan keluar masuk ke kawasan terbabit dengan syarat tertentu terutama hal-hal kecemasan, selain membenarkan premis perniagaan beroperasi bagi memudahkan mereka mendapatkan bekalan barang keperluan harian dan makanan.

“Polis juga meneruskan usaha mengesan kontak rapat dengan 20 warga asing yang disahkan positif COVID-19 bagi memutuskan rantaian penularan wabak ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Sebelum ini, beberapa kawasan telah ditempatkan di bawah PKP diperketatkan termasuk Menara City One di sepanjang Jalan Munshi Abdullah, dua bangunan di Masjid India, Simpang Renggam, Hulu Langat dan Old Town Petaling Jaya. – Oleh HAIKA KHAZI

Pihak berkuasa memeriksa orang ramai yang keluar masuk ke kawasan dua taman sekitar Bukit Changgang yang dikenakan PKP Pentadbiran

Get real time updates directly on you device, subscribe now.