SPRM, polis digesa siasat dakwaan babitkan Guan Eng

35

2 JUN: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa supaya membuka kertas siasatan bagi menyiasat dakwaan kononnya bekas Menteri Kewangan Lim Guan Eng pernah mengarahkan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas membatalkan pembekuan akuan milik seorang taikun hartanah yang dikaitkan dengan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Berikutan itu, Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) Wilayah Persekutuan hari ini membuat laporan bagi meminta SPRM menyiasat dakwaan kemungkinan berlaku salah guna kuasa membabitkan Guan Eng dan bekas Peguam Negara dalam kes terbabit.

Ketuanya, Zahin Zainal berkata, prinsip kedaulatan undang-undang perlu dihormati dan tindakan mesti diambil sekiranya dakwaan tersebut didapati berasas.

“Laporan ini dibuat supaya kita mendapat penjelasan dan siasatan sama ada dakwaan ini benar atau tidak. Penyalahgunaan kuasa yang digembar gemburkan ini tidak sepatutnya berlaku.

“Kami juga akan menyerahkan beberapa dokumen berkaitan isu berkenaan bagi membantu siasatan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui sebelum membuat laporan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya tidak akan membuat laporan sekiranya tiada bukti sahih dan berasaskan khabar angin semata-mata.

Lim Guan Eng
Hariz Faisal Ismail (dua dari kiri) dan Timbalan Ketua BERSATU Bahagian Putrajaya, Fathul Azam Mohd Hashim menunjukkan salinan laporan polis terhadap Lim Guan Eng.

Sementara itu, ARMADA Bahagian Putrajaya membuat laporan di Balai Polis Putrajaya hari ini bagi menggesa pihak berkuasa membuka kertas siasatan terhadap Guan Eng.

Ketuanya, Hariz Faisal Ismail mengambil tindakan itu selepas membaca pendedahan yang dibuat sebuah portal berita yang mendakwa Guan Eng menyalahgunakan kuasanya dalam isu yang sama.

“Tujuan laporan ini adalah untuk mendesak pihak polis menyiasat perkara ini kerana ia merupakan isu berkaitan dengan kepentingan awam.

“Pihak polis juga digesa untuk menyiasat sama ada terdapat salah guna kuasa dalam proses tersebut.

“Sekiranya terdapat sebarang kelakuan jenayah, ARMADA Putrajaya mahu tindakan undang-undang segera diambil termasuk membawa individu-individu terbabit ke muka pengadilan,” katanya selepas membuat laporan tersebut.

Sebelum ini, media melaporkan Guan Eng pernah meminta Peguam Negara membatalkan arahan pembekuan membabitkan beberapa akaun bank milik seorang taikun hartanah yang sedang disiasat berhubung transaksi kira-kira RM4 juta dana berkaitan 1MDB.

Pendedahan itu kurang sebulan selepas pihak berkuasa dikritik kerana bersetuju melepaskan Riza Aziz dengan syarat beliau mengembalikan wang yang didakwa diselewengkan daripada syarikat milik negara tersebut.

Tommy dikatakan membuat keputusan terbabit walaupun diberitahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bahawa wang sebanyak RM4 juta gagal dipulangkan oleh taikun itu kepada kerajaan.

Bekas Peguam Negara itu kemudiannya mengarahkan SPRM menarik balik pembekuan ke atas 4 akaun bank berkenaan, menurut surat jawapannya kepada Lim.

Malah, dalam surat itu, Thomas mengakui diberitahu SPRM yang sebahagian besar wang kira-kira RM3.9 juta tersebut tidak lagi ditemui dalam salah satu akaun bank yang dikatakan menerima dana itu.

Tindakan Guan Eng membuat permintaan itu kepada Thomas tidak disenangi pihak yang rapat dengan penyiasatan kes membabitkan berkenaan. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.