Kluster Pangsapuri Cheras jangkit 6 individu

34

2 JUN: Kluster baharu COVID-19 dikesan di Pangsapuri Cheras, Kuala Lumpur yang melibatkan jangkitan terhadap enam individu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster tersebut berkemungkinan berpunca dari aktiviti kunjung-mengunjung sebelum dan semasa Hari Raya Aidilfitri.

“Hingga kini, ada enam kes dalam kluster itu, iaitu tiga dikesan membabitkan penghuni pangsapuri berkenaan, manakala tiga lagi di luar kawasan pangsapuri.

“Mereka dikesan melalui tindakan pengesanan kes secara aktif. Kes positif kluster berkenaan adalah ahli keluarga dan rakan kepada kes pertama yang dikesan.

“Punca jangkitan kluster itu masih dalam siasatan, namun besar kemungkinan penularan berkait aktiviti kunjung-mengunjung sebelum dan semasa Aidilfitri,” katanya pada sidang media harian COVID-19 hari ini.

Menurut beliau, kes pertama kluster itu dikenal pasti daripada ujian saringan terhadap pelajar pusat tahfiz yang dijalankan hasil kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan Kementerian Kesihatan.

Walau bagaimanapun, Dr Noor Hisham berkata, hasil siasatan mendapati tiada pelajar, guru atau kakitangan daripada pusat tahfiz berkenaan yang mempunyai sejarah menghadiri perhimpunan di Seri Petaling sebelum ini.

Secara keseluruhan, beliau memberitahu, sebanyak 20 kes baharu dilaporkan hari ini dengan menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 7,877 kes.

Dr Noor Hisham memberitahu, jumlah kes pulih adalah dua kali ganda dari kes baharu iaitu 66 kes sekali gus menjadikan jumlah terkumpul sebanyak 6,470 kes atau 82.1 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 1,292 kes. Mereka kini sudah diasingkan dan diberi rawatan lanjut.

“Ingin dimaklumkan daripada 20 kes baharu yang dilaporkan, 15 kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara.

“Daripada lima kes penularan di dalam negara, tiga kes bukan warganegara dan dua kes dalam kalangan warganegara Malaysia,” katanya.

Selain itu, beliau turut memaklumkan tiada pertambahan kes kematian berkaitan COVID-19 dan jumlahnya kekal sebanyak 115 kes atau 1.46 peratus daripada jumlah keseluruhan kes. – Oleh ASLINDA NASIR

Get real time updates directly on you device, subscribe now.