Sudikah DAP terima Tun Mahathir?

903

EMPAT hari sudah berlalu sejak Tun Dr Mahathir Mohamad diberi surat pengguguran keahlian dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang diasaskannya.

Turut menerima surat yang sama ialah anaknya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan tiga lagi bekas pemimpin Bersatu iaitu Dr Maszlee Malik, Syed Saddiq Abdul Rahman dan Datuk Amiruddin Hamzah.

Setakat ini, masih belum ada mana-mana parti dalam Pakatan Harapan (PH) yang menawarkan keahlian kepada mereka.

Tidak PKR, DAP mahu pun Parti Amanah Negara (Amanah) yang membuka pintu kepada bekas-bekas pemimpin Bersatu lima serangkai itu.

mahathir
Dr Mahathir tidak kelihatan semasa mesyuarat PH di Petaling Jaya pada 30 Mei lalu.

Mungkin juga sebab Dr Mahathir dan empat yang lain enggan menerima hakikat bahawa mereka tiada lagi dalam Bersatu.

Kita faham situasi itu, cuma agak pelik apabila tiada satu pun parti komponen PH yang menyatakan kesediaan menerima mereka.

Sekurang-kurangnya, berilah tempat untuk Dr. Mahathir kerana beliau yang menyumbang kepada kemenangan PH pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Kalau hendak diharapkan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang dan Mohamad Sabu, memang tak merasalah PH berkuasa selama 22 bulan.

DAP merupakan platform yang terbaik untuk Dr Mahathir meneruskan kerjaya politiknya yang sangat panjang.

Sekiranya kesempatan itu diberikan, Dr Mahathir boleh menangkis tanggapan kononnya beliau bersikap ultra-Melayu.

Pada masa yang sama, DAP boleh membuktikan parti tersebut bukanlah bersifat cauvinis dan mengamalkan dinasti keluarga seperti yang didakwa banyak pihak.

Berikan Dr Mahathir jawatan yang sesuai dengan tarafnya sebagai seorang negarawan, contohnya Penasihat DAP.

Takkanlah bekas Perdana Menteri keempat dan ketujuh itu sekadar menjadi ahli biasa bila masuk DAP.

Itu pun kalau DAP sudi terima Dr Mahathir, kalau tidak terpaksalah beliau bergelar Ahli Parlimen Bebas sampai pilihan raya umum akan datang.

Harap-harap adalah pelawaan daripada Lim Kit Siang atau anaknya, Lim Guan Eng dalam masa sehari dua ini.

Tak baik biarkan Dr Mahathir terkontang-kanting sendirian tanpa parti politik di belakangnya.

Semasa PH buat mesyuarat di Petaling Jaya baru-baru ini pun tak nampak kelibat Dr Mahathir.

Bagaimana pula dengan Mukhriz, Maszlee, Syed Saddiq dan Amiruddin?

Pandai-pandailah mereka nak hidup, semua dah besar panjang. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.